Saturday 27 September 2014

Semangat Akhirat-sentrik Atau Sindrom 8C?

(ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diseterika dahi, lambung, dan punggung mereka (seraya dikatakan) kepada mereka, "Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat dari) apa yang kamu simpan itu.
[QS At-Taubah, 9:35]

zulan477.deviantart.com
Semalam selepas solat isyak, saya diberitahu kawan saya bahawa ada program perkongsian tentang perjalanan hidup arwah seorang pemuda yang sentiasa disebut-sebut namanya sejak kesyahidan beliau pada November 2013. Ya, tidak salah lagi, Ahmad Ammar. Dengan sedikit terkejut dan terpinga-pinga dengan ajakan tersebut kerana baru dapat tahu, saya yang hanya berpakaian sukan dengan sapuan pewangi pada tubuh yang masih agak kehangitan dengan aktiviti fizikal saya sebentar tadi terus membubuh lebih banyak sapuan. Tanpa bicara banyak, saya terus bergegas ke dewan utama untuk menghadiri program yang disebutkan pada malam itu.

Setelah mendapat beberapa input yang bermanfaat daripada abah dan bonda arwah, saya turut rasa terpanggil untuk menyelitkan sedikit ibrah yang perlu dijadikan iktibar dalam menteladani hidup kita sebagai seorang belia Muslim. Dalam artikel ini saya bukan hendak berkongsi 100% apa yang berlaku dalam program tersebut kerana saya bukan kerani pembuat laporan, mahupun ingin berkongsikan 100% kisah serta latarbelakang arwah Ahmad Ammar kerana saya yakin sudah terlalu banyak sumber tentang kisah beliau sama ada dalam laman sesawang mahupun terbitan-terbitan buku yang dikeluarkan. Saya hanya ingin kongsikan beberapa input dari program tersebut serta kaitkan dengan beberapa persoalan dalam hidup yang perlu kita fikirkan bersama agar kita mampu meng-introspeksi diri kita kembali dalam menjadi hamba yang terbaik di sisi Allah s.w.t..


Akhirat-sentrik

Saya tertarik dengan istilah-istilah yang digunapakai oleh abah beliau dalam penyampaian, ditambah lagi dengan kredibiliti beliau yang mendapat pendidikan tinggi di US serta mempunyai pengalaman sebagai pakar motivasi kepada komuniti-komuniti belia. Antara istilah yang saya hendak tekankan di sini adalah 'akhirat-sentrik'.

Secara literalnya, kita boleh menganggap istilah 'akhirat-sentrik' ini adalah semangat seseorang di mana minda, hati, pengakuan mahupun perbuatannya pada setiap detik waktu sentiasa dihalatujukan untuk memenangi redha Allah di akhirat, betul? Mungkin itulah gambaran seorang belia yang ingin abah kepada arwah sendiri berikan kepada kami agar kami juga memiliki semangat seperti itu. Dengan memiliki akhirat-sentrik, segala pergerakan tubuh kita hanya terus berorientasikan kepada merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t., melakukan perkara-perkara kebaikan serta mengajak orang kepada kebaikan yang kita sarankan, yang juga merupakan ibadah yang berpotensi menambah keuntungan dalam saham akhirat kita.

Sesuailah dengan firman Allah s.w.t.:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
  
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.
[QS Adz-Dzaariyat, 51:56]

Jadi sekarang, saya ingin lontarkan sedikit persoalan. Berapa ramai di antara kita pada ketika ini yakin bahawa kita sudah mencukupkan bekalan amal ibadah kita secukup-cukupnya sehingga kita yakin  bahawa kita telah memenagi syurga jikalau kita mati pada ketika ini juga?

Jikalau saya yang jawab persoalan ini, saya juga tidak yakin. Saya tidak yakin saya ada semangat akhirat-sentrik yang berterusan sepertimana yang disuarakan dalam program tersebut. Saya juga tidak yakin untuk mengaku pada diri saya sendiri bahawa saya akan berada pada puncak keimanan yang tertinggi bilamana nyawa saya akan dicabut kelak.

Bagaimana dengan anda?


Jangan Terjebak Dengan Sindrom 8C

Satu model yang menarik dikongsikan oleh abah Ahmad Ammar. Beliau tahu bagaimana dia dapat memetik hikmah daripada kisah-kisah anak beliau untuk menjadi suntikan kesegaran buat para pemuda di luar sana. Untuk memiliki semangat akhirat-sentrik, adalah lebih wajar untuk mengetepikan sindrom-sindrom berbahaya yang menjadi penyakit untuk hati kita, terutamanya sindrom keduniaan.

Jadi apakah sindrom 8C yang beliau ingin kita elakkan?

Career -> Credit card -> Car -> Companion -> Children -> Condominium -> Clubhouse -> Cemetry

Sebelum membuat apa-apa konklusi yang tidak matang, sukanya saya ingin mengajak diri saya sendiri serta pembaca sekalian tentang kitaran hidup yang digambarkan dalam 8C ini.

Adakah ia nampak familiar buat diri anda semua? Jikalau ya, maka berkemungkinan halatuju pemikiran bawah sedar kita tentang perjalanan hidup masih berada dalam gambaran 8C ini.

Sebagai pelajar bidang kejuruteraan, saya turut terkejut dengan kenyataan ini mungkin kerana ianya sangat terkait rapat dengan perjalanan hidup tipikal seorang yang berkerjaya jurutera. Seandainya saya meletakkan perspektif sebagai seorang jurutera tipikal tersebut untuk seketika, saya akui, saya akan tamat belajar dan mula fokus sepenuhnya pada kerjaya saya (career), kemudian dalam masa yang sama saya juga mengambil berat akan kewangan saya (credit card). Tidak lupa juga untuk memiliki kenderaan yang mewah-mewah (car).  Tidak lupa juga mencari pasangan hidup untuk bermadu asmara (companion), selepas itu mula mendirikan rumah tangga lalu beranak pinak (children). Bosan dengan rumah lama? Terus mencari rumah baru yang lebih mewah (condominium), dan hidup terus menjadi lebih senang lenang dengan keterlibatan dalam kelab-kelab (clubhouse), akhirnya pencen dan sambung berhibur dan berehat menunggu mati (cemetry). P.S: Jangan lupa cemetry biar mewah sikit.

Nah, saya yakin begitulah hidup yang bakal dilalui oleh seorang yang perpenyakit keduniaan, sehingga tidak tahu bagaimana hendak mengekalkan semangat 'akhirat-sentrik' tersebut, sedangkan Abu Bakar r.a. pernah berdoa, ”Ya Allah, jadikanlah dunia di tangan kami, bukan di hati kami.”

Tiada masalah dalam menceburi impian yang ingin kita kecapi, namun ia menjadi masalah sekiranya kita gagal mengurus semangat akhirat-sentrik kita akibat semangat keduniaan yang mendominasi.


Bertangguh Untuk Berapa Lama Lagi?

Hari ini kita menjadi pendosa. Kita melalui setiap detik pada hari ini dan terlepas pandang pada apa yang telah kita lakukan. Lalu kita mula merasakan kekesalan setelah kita menyedarinya. Lantas kita bertaubat pada hujung hari tersebut, namun masih sambung dengan tabiat pendosa yang sama pada keesokannya. Manusia apakah kita ini?


۞ أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا

  ۖيَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ

  وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ


Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik.
[QS Al-Hadid, 57:16]

Kita menganggap kematian itu masih mustahil dalam masa yang terdekat kerana kita masih menikmati kehidupan yang senang dalam masa yang terlalu lama. Kita ingin membangun iman dalam diri, namun kita juga yang meruntuhkannya dalam masa yang sama.

Memang betul iman ada naik dan turunnya, tetapi tidakkah kita malu sekiranya kadar dosa dan lalai yang kita lakukan jauh lebih banyak daripada kadar iman yang kita bangunkan?

Mengapa tidak kita tingkatkan lagi kadar pembangunan iman kita jauh melebihi kadar kelalaian dan dosa kita?

Mengapa tidak, sedangkan Umar r.a. yang dahulunya merupakan sang pendosa tegar, kemudian menjadi mukmin yang sangat hebat dalam menyerahi diri, tenaga, masa dan nyawa beliau hanya di jalan Allah s.w.t. setelah memeluk Islam. Semangat akhirat-sentrik beliau terserlah selepas memeluk Islam. Bagaimana dengan kita yang telah memeluk Islam sejak lahir lagi?

Marilah saudara sekalian. Janganlah berlengah dalam membina mahligai yang terbaik untuk kehidupan akhirat kita. Pupukkanlah semangat akhirat-sentrik secara berterusan dalam diri kita dengan memperbanyakkan amal ibadah yang mampu mendekatkan diri kepada Allah. Mudah-mudahan kita terlindung daripada mati dalam gaung kefasikan kita, dan biarlah kita mati di atas puncak keimanan kita, insyaAllah.

Wallahu a'lam.

No comments :

Post a Comment