Tuesday 6 August 2013

Selamat Tinggal Jahiliyyah

Assalamu'alaikum wahai saudara-saudariku yang dikasihi Allah s.w.t..



Muqoddimah

Untuk makluman semua, minta maaf saya ucapkan atas ketidakhadiran saya yang begitu berapa lamanya dalam entri-entri terbaru yang sepatutnya saya rancang nak masukkan. Sekarang alamat dah tukar sikit dalam bentuk yang lebih umum, iaitu alsyrainbow (kenapa? lebih kurang 'summary' daripada logo baru ALwanul SYabab tu hehe...) tetapi ALwanul SYabab tetap menjadi entiti blog ini, jadi saya doakan semoga warna kehidupan yang sentiasa kita pilih sebagai seorang mukmin sentiasa hidup ibarat ruhnya sang pemuda dan sentiasa teguh pada orientasi hidup yang terus diredhai Ilahi insyaAllah.


Selamat Tinggal Jahiliyyah


Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
[QS Al-Ankabut, #29:64]

(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu hartabenda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).

[QS Muhammad, #47:36]


Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

[QS Al-Baqarah, #2:216]


Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

[QS Al-An'am, #6:32]


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.
[QS At-Taubah, #9:38]


Dalam Al-Quran, tidak kurang juga bilangan ayat-ayat Quran yang sangat menyarankan semua umat Islam agar melepaskan segala ikatan keduniaan di mana ketika itu ada tuntutan yang lebih utama pada masa yang sama iaitu pembelaan dan pemeliharaan agama Allah s.w.t.. Memang secara nalurinya dunia itu penuh dengan keseronokan, tetapi jangan pernah sesekali dijadikan alasan untuk mengelakkan diri daripada terus menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. secara istiqomah. Sedangkan keduniaan yang diterangkan dalam al-Quran pun dapat disimpulkan dalam bentuk yang lebih umum, apatah lagi keduniaan dalam bentuk yang tidak bermanfaat bagi kehidupan dunia dan akhirat seperti hiburan yang melalaikan, benda-benda alah yang merosakkan tubuh badan dalam bentuk rokok, dadah dan sebagainya, permainan yang membutakan mata hati daripada memperhatikan kebenaran dan banyak lagi bentuk-bentuk keduniaan sedemikian.

Jadi, berbaki satu malam sahaja yang terakhir dalam Ramadhan kali ini, saya yakin bahawa tidak terlambat lagi untuk saya sarankan agar sama-sama memuhasabahi diri kita masing-masing agar mampu memperbaiki persepsi kita dalam memperlihatkan jiwa kita kepada kesedaran untuk mencintai Allah s.w.t. lalu menghadirkan hati kita sekhusyuknya, melahirkan ketaqwaan sewaspadanya dan meningkatkan keimanan seteguhnya demi meraih mahabbatillah seistiqomahnya dan melepaskan segala tabiat Jahiliyyah kita sejauh-jauhnya dari hidup kita. Segala bentuk tabiat jahiliyyah yang masih bersarang dan tidak mendatangkan apa-apa faedah bagi saham akhirat dalam diri seseorang mesti dihapuskan serta-merta. Seorang mukmin yang sebenar sepatutnya mesti sentiasa mengikhlaskan dan mengkhusyukkan dirinya untuk menyalurkan segala apa yang diusahakannya dalam hidup sebagai ibadat kepada Allah Taala.

Mari sentiasa berikan bisikan yang membina dalam hati kita:


"Jika karat kelalaian dan kemaksiatan masih lagi engkau pertuhankan dalam keadaan sedar mahupun tidak,

maka tolong perbetulkan masalah ini,

binalah hubungan dengan Allah sekuat-kuatnya hingga tidak ada sebarang godaan duniawi yang mampu menggoyahkan imanmu,

dan usahakanlah untuk tidak keberatan perlahan-lahan melepaskan segala tabiat jahiliyyahmu dan ucapkanlah selamat tinggal untuknya...

Doakanlah agar jangan pernah diri ini terpinta untuk memahukan ia kembali...

Selamat tinggal, Jahiliyyah...

Selamat tinggal, Jahiliyyah...

Selamat tinggal, Jahiliyyah..."


Semoga bermanfaat untuk semua. Wallahu a'lam ^^


Pengumuman

Untuk bulan Ogos ini, nampaknya saya terpaksa melepaskan tangan untuk tidak menyibukkan diri dengan menghasilkan karya-karya baru hanya untuk bulan ini disebabkan beberapa kekangan dan salah satu yang terutama adalah kekangan dalam bentuk test dan final exam yang berlambak perlu diselesaikan dan dipersiapkan sewajarnya (huhu sedih...). Jadi aktiviti dan entri tak akan berapa kerap sangat melainkan mungkin hanya dalam beberapa penulisan dalam blog ini dan FB page ALwanul SYabab. InsyaAllah akan ada beberapa kejutan dan pengkaryaan yang perlu dinantikan selepas semua kemelutan ini berakhir insyaAllah. Oleh itu, doakan yang terbaik untuk saya dan kawan-kawan di UTP agar berjalan lancar segala urusan. Peace ^^v