Friday 9 January 2015

Secebis Muhasabah (09/12/2015)

Sesibuk mana pun pada satu tahapnya kesungguhan perjuangan kita dalam membina mahligai kehidupan dunia, ingatlah bahawa Allah masih ternanti-nantikan kesungguhan perjuangan kita dalam membina mahligai kehidupan akhirat di sana.

Secebis Motivasi (09/12/2015)

Sudah masuk hari ke-9 pada tahun ini, cukuplah kita bertakuk dalam kepompong lama masing-masing dari tahun sudah. Marilah keluar dari kepompong tersebut, dan kita akan terus dan terus buktikan bahawa sayap potensi, amal dan usaha kita akan menjadi semakin dan semakin baik agar mampu terbang bebas dalam mengecapi kejayaan dunia dan akhirat kita insyaAllah. Salam Jumaat ^_^

Thursday 8 January 2015

Secebis Muhasabah (07/01/2015)

Setiap kali semasa solat, saya sentiasa berusaha untuk mengingatkan diri saya agar sentiasa meletakkan Allah sebagai sumber ketenangan saya sebagai seorang Muslim seperti mana yang ditekankan dalam surah Ar-Rad (13:28), dan dengan pola fikir tersebut saya akan melihat solat itu sebagai suatu meditasi rutin yang paling berkesan dan terutama dalam mengubati jiwa dan tekanan yang dilanda seharian, dan akan cuba sedaya upaya untuk tidak merewangkan fikiran ke arah yang lain mahupun menggesa-gesakannya kerana saya sudah tetapkan bahawa Allah yang saya sembah itulah sumber ketenangan yang paling berkesan. Saya harap apa yang saya kongsikan di sini dapat dijadikan peringatan kepada saudara dan saudari seagama sekalian agar sentiasa melihat Allah sebagai sumber ketenangan dan solat sebagai kaedah meditasinya yang berkesan insyaAllah. ^_^

Secebis Motivasi (07/01/2015)

Apa azam kita tahun ini? Saya harap saya masih belum terlambat untuk untuk bertanyakan soalan sebegini ya walaupun sekarang sudah masuk hari ke-8 dalam tahun baru ini. Kerana setiap azam dan perancangan yang telah kita tetapkan mestilah kita tetapkannya secara bersungguh-sungguh dan susunkan pelaksanaannya secara penuh tekun agar perancangan tersebut tidak hanya tersepit dalam benak fikiran serta atas kertas sahaja, namun terbentuk dan terbukti hasilnya atas kesungguhan dan ketekunan kita dalam mengusahakannya insyaAllah. :)