Monday 17 February 2014

YANG KAYA TERUS KAYA, YANG MISKIN TERUS MISKIN

Gambar hiasan
Kekayaan merupakan subjek yang sangat-sangat general dan meluas. Kita tak akan dapat mendefinisikan istilah kekayaan itu secara tepat selagi mana ia tidak dikhususkan. Namun apa yang perlu kita ambil tahu adalah apabila perkataaan ini menjadi sangat bernilai apabila teori terhadap istilah kekayaan berkait rapat dengan realitinya.

Dalam konteks sekarang, realiti kekayaan sepertimana kebanyakan masyarakat memahaminya mesti berkaitan dengan keadaan di mana kita mempunyai wang yang banyak dan bertimbun-timbun dalam poket kita sama ada poket seluar, poket peti besi mahupun poket bank. Oleh itu, adalah menjadi jelas istilah kekayaan ini menjadi sangat bernilai pada mata manusia apabila ia hanya dikaitkan dengan mempunyai banyak wang.

Maka dengan hal ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang mula berfikir untuk menjana kekayaan atau sudah menggenggam kuasa kekayaan tersebut kerana dengan kekayaan inilah seseorang itu dianggap mempunyai kuasa yang sangat berpengaruh terhadap manusia lainnya hanya dengan menyalur masuk atau keluar aset yang dimilikinya. Cuma penulis hanya ingin bawa kita semua untuk mempertanyakan kembali kepada diri kita sekali lagi: Sebab apa kita perlu kaya?


"SEBAB AKU NAK HIDUP SENANG…"

Baiklah.

Dan saya yakin pembaca juga familiar dengan kenyataan ini, bukan?

Tanyalah ibu dan ayah anda, abang kakak anda, keluarga anda, kawan, mahupun mana-mana pun orang yang anda kenali yang mahu ataupun yang sudah berduit. Sebab apa nak kaya? Sebab nak hidup senang.

Saya yakin kita semua akan merasa senang jika kita bebas daripada belenggu hutang.

Saya yakin kita semua akan merasa senang jika kita mempunyai segala harta yang memudahkan kita menguruskan kehidupan.

Saya yakin kita semua akan merasa senang jika kita mampu mengupah sesiapa sahaja untuk membantu dan memudahkan pekerjaan kita.

Namun, apakah kita akan senang jika segala kemampuan yang disebutkan di atas tidak dimanfaatkan sebaiknya demi kebajikan, keadilan dan kebenaran yang mesti kita tegakkan, malah terus berboros hanya demi penindasan, kezaliman dan kemungkaran ke atas diri sendiri serta orang lain?

Tentulah tidak. Kenapa?

Satu jawapan mudah: Jiwa dan mentaliti kita miskin.

Dengan kemiskinan inilah, orang kaya akan beranggapan bahawa kekayaan akan mengangkat taraf dan kedudukan mereka ke tempat yang tertinggi tanpa mengambil pertimbangan terhadap nilai keagamaan dan kemanusiaan.

Manakala untuk orang miskin, jika miskin juga hati dan mentaliti mereka, maka inilah tanggapan yang terus menghantui mereka:

-Kekayaan tersebut hanya digunakan sebagai kemewahan ke atas diri sendiri, sekaligus mencetuskan penindasan ke atas orang lain tanpa disedari.

-Kekayaan tersebut hanya digunakan sebagai aset menjaga periuk nasi sendiri, sekaligus menzahirkan ketidakadilan terhadap masyarakat lain.

-Kekayaan tersebut hanya dijadikan sebagai token untuk memuaskan diri sendiri dengan hiburan, sekaligus membentuk aura kemungkaran ke atas diri sendiri.


KESIMPULAN

Jadi, kesimpulannya?

Orang miskin akan berpendirian untuk terus miskin, manakala orang kaya akan terus mabuk untuk bertambah kaya.

Kemiskinan mentaliti dan hati inilah yang mesti kita perbaiki mulai sekarang, tidak mengira dari golongan kaya mahupun yang miskin, agar kekayaan tersebut dapat dinikmati sama rata dan hidup kita betul-betul dikatakan senang!

Friday 14 February 2014

PENGUMUMAN PENTING: Alamat Blog akan DItukar

Bagi followers yang masih mengikuti perkembangan blog saya, insyaAllah alamat alsyrainbow.blogspot.com akan ditukar ke alamat baru iaitu http://alwanassyabab.blogspot.com/ secara mutlak pada 16hb Februari 2014 (Ahad), 11.59 malam. Harap dapat ambil perhatian dengan baik dalam tempoh sebelum alamat blog ini ditukar insyaAllah.

Harap maklum.


Sedikit Perkongsian daripada Bacaan

Penulis buku Al-Farj Ba'da Say-Syiddah menyebutkan bahawa salah seorang Hukama' diuji dengan suatu musibah. Maka datanglah teman-temannya mengucapkan keprihatinan mereka terhadap musibah yang menimpanya. Hukama' itu pun berkata: "Aku tahu ada satu ubat yang terbuat dari enam formula yang berbeza." Teman-temannya pun bertanya: "Apa dia?" Jawabnya:

1. Percaya sepenuhnya kepada Allah.
2. Kesedaranku bahawa semua yang telah Allah takdirkan akan terjadi.
3. Sabar adalah senjata terbaik yang mesti dipergunakan oleh orang yang mendapat ujian.
4. Jika saya tidak bersikap sabar, lalu apa lagi yang boleh saya lakukan?! Dan kesedihan tidak akan boleh membantuku.
5. Mungkin saja saya akan berada dalam keadaan yang lebih buruk daripada keadaan saya sekarang ini.
6. Dari semasa ke semasa, jalan keluar akan terus terbuka.

Sumber:
Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni, La Tahzan.
Topik: Mengapa Harus Bersedih Jika Anda Memiliki Enam Formula?