Sunday 27 November 2011

Marilah Merancang (Prolog)

Assalamualaikum w.b.t. dan minta maaf atas pengabaian saya buat seketika waktu untuk terus menulis dalam blog ini. Sekali lagi, minta maaf saya dahulukan kerana telah lama saya biarkan blog ini masih berada dalam warna yang sama, diiringi kesunyian tanpa terus diwarnai dengan butiran-butiran penulisan yang bermakna lagi. Tapi itu bukanlah bermakna hati kita juga dibiarkan sunyi tanpa terus diwarnai dengan nilai-nilai yang indah kan? Semoga hati-hati kita semua masih kekal dipayungi dengan payung rahmat yang dikurniakan oleh Allah ini dan terus kekal berada di bawah cahaya bimbinganNya.




Renungilah Betapa Pemurahnya Allah!

Segala puji bagi Rabb Yang Maha Menciptakan apa yang ada di langit dan di bumi atas pertemuan kita dalam entri ini, juga disertai dengan selawat dan salam ke atas utusan junjungan kita yakni Nabi Muhammad s.a.w. kerana segala usaha dan jerih payahnya telah membuahkan hasil yang dikatakan sebagai nikmat yang terbesar buat kita iaitu iman dan Islam yang masih mampu untuk kita rasai sekarang.

Kita sendiri boleh lihat betapa sabarnya Rasulullah dalam mewarnai hati masyarakat Quraisy dengan warna Islam, dibebankan lagi dengan keadaan suasana jahiliyah di sekelilingnya. Kita sendiri juga boleh lihat betapa kreatifnya baginda dalam mewarnai hati sahabat-sahabat yang sebelum ini tidak pernah mengenali baginda, sehingga tersentuh hati mereka mendengarkan kata-kata baginda yang baik sehingga terikat hati mereka untuk terus mengikuti perjuangan baginda atas dasar keimanan, subhanallah. Jika kita sendiri, yang mengaku sebagai umat baginda, yakinilah atas apa yang disabdakan oleh baginda ini,

Barangsiapa menyeru (mengajak) kepada petunjuk, baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang pahala mereka sedikitpun. Dan barangsiapa yang menyeru (mengajak) kepada kesesatan, atasnya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi demikian itu dari dosa mereka sedikitpun.
[H.R. Muslim]

Bayangkanlah misalnya kalau kita sekurang-kurangnya cuba berusaha untuk mengajak seseorang untuk menunaikan solat berjemaah bersama-sama, dan bayangkanlah pahala yang Allah kurniakan secara berganda hasil daripada pahala solat kita dan solat orang yang kita ajak tadi, tanpa berkurangi sedikit pun setelah apa yang kita usahakan itu, subhanallah. Inikan pula kalau kita mengajak dan membimbing lebih ramai lagi orang untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan amalan serta saling memperingati sesama... Fuhh, betapa tidak tergambar pemurahnya Allah hendak memberikan ganjaran kepada kita seiring dengan usaha kita itu dalam membantu agama Allah!

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. 
[Q.S. Muhammad, 47:7]

Jadi apa yang perlu ditunggu-tunggu lagi? Ayuh sama-sama kita cuba mengajak diri sendiri dan orang lain untuk memperindahkan hati-hati kita dengan bunga-bunga keimanan kerana kita tidak pasti bila lagi adanya kelapangan kita untuk kerja-kerja seperti ini. Walaupun Malaikat Israil tidak mempunyai jangka hayat seperti manusia dan boleh hidup selamanya atas keizinan Allah, dia tidak pernah pun beralasan dengan Allah dan sentiasa patuh menunaikan amanahnya untuk menyambut kedatangan ajal kita yang bakal datang pada bila-bila masa sahaja. Inikan pula kita yang hanya mempunyai masa yang jauh lebih singkat menanggung amanat sebagai pengabdi Allah dalam kehidupan ini. Sepatutnya kita sudah sedia maklum bahawa masa kita tidak panjang, bahkan Allah sangat menyeru kita agar menghabiskan masa sepanjang kehidupan kita ini untuk beribadah kepadaNya tidak kisah dalam bentuk ruhiyah, pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya.

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.
[Az-Zariyat, 51:56]


Dunia Bukanlah Alasannya




Kita juga pasti sedar akan hakikat kita di dunia ini bahawa kita pasti disibukkan dengan hal-hal keduniaan yang Allah terjemahkan sebagai satu bentuk ujian buat kita semua. Namun cuba renungkan berapa ramai di antara kita yang selalu cuba untuk berada di luar lingkup hakikat dunia ini walaupun dalam masa yang sekejap untuk melaksanakan perintah-perintah Allah yang wajib seperti menunaikan solat fardhu, lebih-lebih lagi amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, melaksanakan solat sunat dhuha, tahajud dan sebagainya. Berapa ramai agaknya? Tidak ramai yang mahu lakukan... bukan boleh atau tidak, tetapi ini soal mahu atau tidak. Kita semua memang telah memasangkan keinginan dalam hati bahawa kita mahu mengecapi kebahagiaan yang dijanjikan oleh Allah di akhirat kelak, namun mengapa segala perlakuan dan tidak-tanduk kita kadang-kadang, bahkan ada yang selalunya, tidak membuktikan secara kukuh tentang apa yang kita mahukan?

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.
[Q.S. Ali Imran, 3:14]

Itulah dunia, ganjaran sementara yang manusia selalu kejar-kejarkan secara sia-sia, sedangkan ganjaran akhirat lebih kekal dan jauh lebih untung dan kekal buat kita. Khususnya kepada siswa-siswi IPT, perasan bukan, bahawa kita kadang-kadang sukar nak mencari masa untuk mengisi rutin harian kita dengan amalan-amalan baik kerana kita mengadu yang kita asyik diganggu dengan kerja-kerja assignment, tutorial, kerja berkumpulan dengan mesyuaratnya yang berkerap, bahkan tidak ketinggalan juga selalu menyibukkan diri dengan program-program anjuran organisasi atau pihak IPT sendiri. Dengan kesibukan yang 'padat giler' inilah yang mungkin menyukarkan kita untuk melapangkan masa untuk aktiviti-aktiviti yang boleh meng'refresh'kan hati kita kembali. Belum lagi kepada yang selalu mengaku sibuk atas kekangan-kekangan yang tidak mengizinkan yang padahal selalu membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak penting dan tidak sepatutnya seperti melayari internet untuk berchatting hal-hal yang tidak berfaedah, bermain game komputer, menonton movie, berfoya-foya sambil mencuci mata dan sebagainya.

Hindarilah Kesibukan dengan Perancangan


Gambar hiasan


"Akhi, jom ikut ana, join sekali kuliah quran dekat masjid..."

"Err, entahlah akhi tapi ana agak sibuk sekarang ni..."

"Hmm, apa yang antum selalu sibukkan ni ya? Hampir setiap kali ana ajak, antum tak pernah tak deny, mesti selalu..."

"Banyak assignment la akhi. Tutorial task belum siap, Literature review lagi... Eleh, antum sendiri pun tak siap lagi kan??"

"Ana tahulah tapi tengok dah berapa lama dah kita tidak sibukkan diri untuk mendekatkan diri kepada Allah... Sedangkan pihak Yahudi Zionis tidak pernah rasa sibuk dan terbeban pun dalam menegakkan kebatilan, bagaimana pula kita sebagai mukmin yang cuba menegakkan kebenaran ini kembali?"

Maka kita seharusnya pandai menyediakan perancangan rutin harian kita dengan efektif, iaitu melalui pengurusan masa yang lebih sistematik. Jangan jadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak bergerak dalam menjalankan kebaikan. Jangan jadikan kebiasaan-kebiasaan kita yang selalu cenderung kepada hal-hal dunia ini menjadi 'kawan rapat' kita dalam bersama-sama menjauhi suruhan-suruhan Allah.

Dan barangsiapa berpaling dari pengajaran Allah Yang Maha Pengasih (Al-Quran), Kami biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya.
[Az-Zukhruf, 43:36]

Jikalau kita ingin diri kita terhindar daripada azab neraka, maka putuskanlah 'ikatan persahabatan' kita dengan syaitan. Bagaimana? Dekatilah ayat-ayat Allah dengan menghayati al-Quran dan mempraktikkannya sebagai budaya kehidupan kita. Apalah maknanya Allah menyeru kita agar menunaikan solat pada waktu-waktu yang ditetapkan jikalau bukan salah satunya sebagai latihan agar kita dapat menyematkan nilai sentiasa menepati waku dalam pelbagai urusan kehidupan kita. Apalah ertinya pergerakan-pergerakan dalam solat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kalau bukan salah satunya sebagai latihan untuk kita sentiasa berdisiplin dalam mengawal tindak-tanduk kita dalam kehidupan ini. 

Ayuhlah sahut kembali seruan Allah dan ajaran Rasulullah sebagai kunci untuk membuka hati-hati kita yang telah terkunci oleh mangga-mangga dunia ini. Jadual tetap padat walaupun telah membuat perancangan waktu? Janganlah menunggu masa lapang dalam berbuat kebaikan, malah lapangkanlah masa kita untuk mengutamakan seruan Allah dahulu. Buatlah perancangan awal tentang apa yang perlu kita lakukan untuk hari esok dan masa-masa yang seterusnya, kalau boleh letakkan beberapa jenis ketetapan misalnya, 

"Saya mesti membaca al-Quran sekurang-kurangnya 1 juzuk sehari. Saya mesti kongsikan sekurang-kurangnya suatu ilmu yang bermanfaat di facebook. Saya mesti sekurang-kurangnya menziarahi seorang kawan di bilik lain dan memberi sedikit nasihat kepadanya dalam seminggu. Saya pasti akan lakukannya!" (Fuhh, sungguh berkeyakinan, he he...)


Gambar hiasan


Nampaknya api semangat itu sudah cukup bagus, maka marakkanlah lagi dengan menambahkan lagi kayu-kayu api disiplin dan ketegasan diri dalam menepati apa yang dirancangkan itu. Kebatilan yang terancang akan mengatasi kebenaran yang tidak terancang, maka rancanglah dan bermujahadahlah atas usaha kita dalam menegakkan kebenaran itu, insyaAllah semuanya akan dipermudahkan olehNya jika kita betul-betul yakin akan pertolonganNya.

Akhirul kalam, semoga penghijrahan diri kita merentasi masa kepada tahun 1433 hijrah yang baru ini mampu menyuntik momentum dalam diri kita untuk menghijrahkan hati ini merentasi sempadan dunia untuk terbang meluru sedekat-dekatnya kepada cinta Yang Maha Agung kita. "Salam Maal Hijrah" hanyalah suatu ucapan, pentejermahan ucapan tersebut ke arah perbuatan itulah yang kita harapkan. ^__^






P.S. InsyaAllah suatu entri yang lebih spesifik tentang pengurusan masa yang efektif demi manfaat dunia dan akhirat akan saya isikan pada masa akan datang jikalau masih berkesempatan lagi. Untuk entri ini saya mengambil kesempatan ini untuk mendedahkan artwork terbaru saya yang masih kasar dan belum disiapkan, namun bakal disiapkan dan akan dikongsikan bersama jikalau masih berkesempatan juga. 


Tarbiyah is the Solution!


???


<<Salinglah mendoakan agar bertemu cinta dan redhaNya... ^__^>>

1 comment :