Sunday 6 November 2011

Persepsikan Dirimu Wahai Remaja

Alhamdulillah, satu lagi ilustrasi yang akhirnya berjaya saya siapkan dalam masa 2 hari. Bukanlah sepanjang 48 jam (agak-agaklah), namun jika ada kekosongan masa saya akan cuba melapangkannya untuk menghasilkan ilustrasi ini. 

versi Bahasa Malaysia




versi Bahasa Inggeris

Memang tidak dinafikan bahawa hidup kita bakal menjadi lebih sibuk lantaran tugasan-tugasan yang diberikan sepanjang merantau mencari nilai kehidupan di IPT, dan kesibukan memang akan sentiasa menyempitkan waktu-waktu kekosongan kita, tapi tidak bermakna kesibukan menjadi alasan kita tidak mempunyai masa untuk melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Namun kadang-kadang mungkin kita pernah mengalami kekosongan waktu yang amatlah berharga jika betul-betul dimanfaatkan, tetapi ada sahaja di antara kita yang mungkin lebih cenderung untuk mengisikan masa-masa yang berharga itu dengan perkara-perkara yang tidak berharga.

"Bersepahnya bilik! Cubalah kemas-kemaskan..."

"Ala, biasa la, bujang la katakan..."

"Kamu ni kalau ada free time asyik main game je ke?"

"Well, boring la, takde benda nak buat..."

"Wei, kerja yang berlambak tu tak buat ke?"

"Laa, nantilah dulu... Enjoylah sikit!"

Rasa-rasanya pernah tak kita sendiri melontarkan alasan-alasan seperti ini? Daripada buku 'Kaya Duit, Kaya Hati' hasil penulisan Muhammad Muhyidin, bukan semua persepsi yang dibuat oleh orang lain pada kita itu betul, namun tidak semua perspesi yang dibuat oleh orang lain pada kita itu silap. Mungkin khususnya bagi sang bujang dan sang dara (kerana saya yakin ramai di antara para pembaca blog ini merupakan golongan remaja), kita mungkin dipandang dengan berbagai-bagai jenis pandangan sebagai output terhadap persepsi orang pada diri kita.

IMPLIKASI PERSEPSI SEKELILING DALAM MEMILIH RAKAN

Apabila dikatakan tentang remaja, timbul suatu fakta dalam benak fikiran kita bahawa remaja merupakan peringkat umur yang mempunyai kekosongan masa yang begitu terluang dan keupayaan tenaga yang optimum berbanding peringkat-peringkat umur yang lain. Pasti ada di antara rakan-rakan sebaya mahupun senior-senior kita yang kononnya memegang prinsip seorang remaja yang "hidup hanya sekali, so kita enjoy!", selalu berfoya-foya, merayau sana sini dan sebagainya akan secara tidak langsungnya boleh memberikan pengaruh yang negatif pada diri kita. Jika kita silap memilih rakan-rakan seperti ini untuk sentiasa didekati, hasil daripada pengaruh negatif inilah yang menjadikan diri kita negatif dan boleh memberikan persepsi negatif oleh orang lain terhadap diri kita, namun menjadi positif pada pandangan si kawan buruk itu serta orang lain yang bersepegangan dengannya. Sebagai kawan rapat mereka, kita lebih cenderung untuk termakan dengan pengaruh buruk mereka tanpa memikirkan apa yang orang lain katakan terhadap kita, padahal memang sudah jelas perkara itu hanya memudaratkan diri kita sendiri.

...Allah tidak menzalimi mereka, justeru merekalah yang (selalu) menzalimi diri mereka sendiri.
[Q.S. An-Nahl, 16:33]

Namun pasti ada juga golongan kawan kita yang baik-baik, tidak mahu mensia-siakan masa melainkan dengan perkara-perkara kebaikan serta terdidik dengan baik akademik dan akhlaknya. Pengaruh yang mereka bawa sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, perlahan-lahan boleh jadi dia menyelamatkan kita daripada lembah kehancuran akhlak. Natijahnya apabila kita memilih untuk melekat pada kawan seperti ini, Akhirnya kita sendiri juga akan bertambah dan bertambah baik seperti mereka. Mereka rajin, kita turut rajin. Mereka berislam, kita turut berislam. Mereka berakhlak mulia, kita juga turut mencontohi akhlak mereka. Persepsi orang lain terhadap kita juga turut bertambah baik dan kita lebih disanjung mulia di mata mereka dan juga kawan-kawan pembawa pengaruh kita. Namun di sisi yang paling penting sebenarnya mudah-mudahan kita juga dipandang mulia di mata Allah kerana tanggapan Allah itulah yang berada di sisi yang paling benar.

JANGAN BIARKAN MATA HATI KITA DIKABURI

Oleh itu di sini ingin saya tekankan bahawa betapa pentingnya persepsi orang lain terhadap diri kita. Sama ada persepsi yang baik mahupun buruk, namun sebagai seorang mukmin yang mempunyai akal dan fikiran yang sihat, pastinya kita ingin mengharapkan persepsi yang baik dan positif. Namun kalau diikutkan hawa nafsu seseorang, kita pastinya menginginkan respon atau balasan baik yang segera setelah berjaya menghasilkan persepsi yang positif daripada orang lain, misalnya berbuat kebaikan hanya kerana ingin dipuji, menjalankan amal-amal kebajikan hanya kerana mengharapkan imbalan daripada orang lain, beramal kerana ingin dipandang mulia oleh orang lain dan sebagainya. Jikalau perkara itu pernah atau sedang berlaku kepada dirimu, tolonglah hentikan keinginan sebegitu! Apabila syaitan sudah mula mengaburkan suatu jalan yang buruk dengan hamparan karpet indah.

Dan (ingatlah) ketika syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan (dosa) mereka dan mengatakan, "Tidak ada (orang) yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sungguh, aku adalah penolongmu."...
[Q.S. Al-Anfal, 8:48]

Jangan biarkan syaitan-syaitan halus ini menguasai hawa nafsumu yang bisa menggeletek-geletek benak fikiranmu. Mereka sangat licik dan sentiasa melihat titik-titik lemah seseorang sehingga membuatkan niat buruk seseorang itu  tertutup dek perhiasan-perhiasan palsu.

Kemudian pasti aku (iblis) akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.
[Q.S. Al-A'raf, 7:17]

Syaitan sentiasa bahkan tidak pernah mengenal henti dalam menghasut-hasut manusia untuk melakukan kejahatan sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi sehingga terlalu kabur untuk dilihat oleh mata hati seseorang itu dalam menentukan baik mahupun buruk.

Dan tinggalkanlah dosa yang terlihat mahupun yang tersembunyi. Sungguh, orang-orang yang mengerjakan (perbuatan) dosa kelak akan diberi balasan sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.
[Q.S. Al-An'am, 6:120]

Kita tidak akan menyedari keburukan yang kita lakukan sama ada kecil mahupun besar. Sepertimana halnya contoh alasan-alasan yang dilontarkan oleh seorang bujang di atas, ini menunjukkan suatu sikap yang sering menjadi belenggu yang sukar dilepaskan dalam kehidupan seorang remaja bahkan peringkat-peringkat umur yang lain juga, yakni malas. Kemalasan bukanlah sikap yang tersemat dalam hati seorang mukmin, dan juga bukanlah contoh yang baik bagi seorang mukmin, kerana seorang mukmin tidak akan pernah jemu dalam beramal dan berbuat kebaikan di jalan Allah. Lebih-lebih lagi orang mukmin telah Allah letakkan sebagai tertinggi pada persepsiNya.

Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan pula bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.
[Q.S. Ali Imran 3:139]

Adakah menjadi seorang yang beriman cukup hanya sekadar meyakini bahawa Allah itu ada dan Dia Maha Pencipta semesta alam, hanya sekadar meyakini bahawa Allah memiliki sifat-sifat yang tiada pada makhlukNya, tanpa sebarang pembuktian kesyukuran kita terhadapNya? Allah selalu melihat sehebat mana kita masih mampu bersyukur melalui amalan-amalan wajib mahupun sunat tatkala bergelumang dalam 'ombak kehidupan' yang sentiasa Dia hamparkan kepada kita.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:2-3]


Maka cubalah kita selaraskan ibroh yang Allah berikan kepada kita. Untuk apa hikmahnya Allah mewajibkan kita solat? Untuk apa hikmahnya Allah menggalakkan kita beramal soleh? Untuk apa hikmahnya Allah menekankan kita agar berkorban tenaga, masa, harta mahupun nyawa di jalanNya? Satu sahaja yang ingin saya tekankan: agar hati kita terpaut dengan nilai-nilai mulia dan tercegah daripada nilai-nilai yang berkarat.

Dan laksanakanlah solat pada kedua hujung siang (pagi dan petang) dan bahagian permulaan malam. Perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah).
[Q.S. Hud, 11:114]


Jika kita betul-betul ingin menyelaputi jiwa kita dengan lapisan kebaikan, kita pasti tidak mahu jiwa kita dipenuhi karat-karat keburukan. Maka solusi yang paling efektif adalah: yakinlah dengan ayat-ayatNya.   Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk untuk kita, jadi beramallah dengan ayatNya dan apa yang diajarkan oleh utusan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.. Tolong perbetulkan amalan-amalan yang kita lakukan itu dengan niat yang lurus dan penuh keikhlasan kerana Allah S.W.T.. Pada awalnya mekanisme keikhlasan mungkin sukar untuk dicetuskan, maka melalui paksaan dan latihan itulah kita janakannya. Niatkanlah segala perbuatan dan tindakan baik kita hanya demi mencari keredhaan Allah, nescaya kita akan tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat.

...Barang siapa yang berniat hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berniat hijrahnya kerana dunia yang dia akan diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya."
( H.R. Imam Al-Bukhari dan Muslim)


TOLONG JANGAN PERNAH BERPUTUS ASA

Jadikanlah benih kebaikan yang kita tanamkan itu dihiasi dengan siraman titisan kesungguhan dan ditaburi baja keikhlasan. Usaha kebaikan takkan dapat dijalankan tanpa kesungguhan dan hasil kebaikan akan menjadi sia-sia tanpa keikhlasan. Maka tolong jangan biarkan ada lagi timbulnya lalang-lalang riak yang tumbuh memanjang di sekeliling pohon kebaikan tersebut kerana riak merupakan kesyirikan tersembunyi yang bisa menjadikan hati kita sekarat-karatnya. Dan tolong agar mulai saat ini jangan pernah simpan foto 'malas' dan 'putus asa' lagi dalam album kehidupan kita. Cuba kita selami balik kejayaan-kejayaan tokoh-tokoh Barat. Colonel Sanders, pengasas KFC, setelah gagal menawarkan resepi ayam gorengnya kepada sebanyak 1007 buah restoran, akhirnya berjaya juga resepinya diterima pada restoran ke-1008! Sedangkan orang kafir seperti ini tidak menerima apa-apa pun pertolongan Allah, namun keazamannya tidak pernah berhenti pun membakar jiwanya sehinggalah kejayaan yang dia idam-idamkan itu tercapai.

Lihatlah diri kita sebagai muslim. Agak-agaknya baru satu sahaja temuduga yang anda hadiri untuk mendapatkan kerja itu gagal, ada lagi tak keazaman untuk memburu temuduga yang seterusnya? Andai kata anda gagal dalam peperiksaan 'mega', ada sahaja orang yang sudah mulai berputus asa sehingga tidak sanggup meneruskan kehidupan lagi. Jikalau beginilah halnya sampai bila lagi umat Islam ingin bangkit jika perkara-perkara remeh seperti kemalasan dan putus asa masih tersemat dalam jiwa kita? Dan Allah sangat membenci perkara-perkara yang tidak berharga dan sia-sia. Kita akan menjadi sangat-sangat rugi jika setitis keredhaanNya pun malas hendak kita burui, namun betapa beruntungnya seseorang itu jika dia berusaha mencegah segala perkara yang sia-sia dan mula mendekatkan diri dengan perkara yang berharga dalam hidupnya.

Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna,...
[Q.S. Al-Mu'minun, 23:1-3]

Oleh itu, suka saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada pembaca agar pastikanlah setiap butiran masa kehidupan kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang berharga. Jika butiran-butiran masa sebelum ini tercicir dengan keburukan-keburukan yang pernah kita lakukan, bersegeralah memohon ampun daripada Allah S.W.T. dan gantikanlah dengan sisa-sisa waktu seterusnya dalam hidup kita dengan lebih bermanfaat. Jika terasa berat untuk mengubah paradigma anda mulai saat ini, ketahuilah bahawa fasa perubahan itu adalah lebih baik di sisi Allah.

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
[Q.S. At-Taubah, 9:41]

Dan sempena membuka tabir Aidil Adha ini, ingin saya sampaikan agar percayalah bahawa Allah akan mencukupkan pahala orang-orang yang sabar dan tidak akan merugikan orang-orang yang berkorban untuk mencari keredhaan-Nya. Semoga kita juga tergolong dalam orang-orang yang beriman dan tidak dirugikan sedikitpun oleh Allah.



Salam pengorbanan... ^__^

No comments :

Post a Comment