Thursday 29 December 2011

Hijrahkanlah Nurani Diri Ini

Telah lama saya telusuri jalur-jalur kehidupan sementara menjunjung amanah untuk belajar di menara gading ini. Dengan pohonan maaf atas penangguhan saya dalam meng'update'kan blog ini, kini saya kembali untuk menuliskan untai-untaian kata yang melihat ke dalam hati kita kembali untuk bermuhasabah sebentar.

KEM REMAJA SINERGI 2011 (Lelaki)


Kabur dalam Mengecapi Kebahagiaan



Ramai yang memerlukan kesejahteraan dalam hidup namun masih terkapai-kapai dalam kekeliruan untuk mencari kesejahteraan tersebut. Bersyukurlah wahai akhi wa ukhti (saudara & saudari) jika anda merupakan antara orang-orang yang berjaya memecahkan kepompong kebatilan yang selama ini menghantui diri namun kini telah pun menyedari betapa jauh pentingnya peranan kita dalam menyahuti panggilan Ilahi. Namun terdakinya kita ke dalam setiap perkara pasti tertimbulnya persoalan dalam pendakian tersebut. Agak-agaknya dalam kalangan orang-orang yang ingin berubah untuk menjadi lebih baik ini, berapa ramai yang mampu mengekalkan momentumnya tahap demi tahap dalam fasa perbaikan tersebut tatkala pelbagai ujian dan dugaan yang dilimpahi Sang Pencipta kita. Ujian itu boleh jadi berupa musibah ataupun nikmat, di mana boleh jadi sesuatu yang sentiasa tidak henti menaikkan semangat kita untuk mendekatkan diri ini kepada redha Ilahi atau menghambat diri kita ke arah yang sebaliknya, na'uzubillah. Kita pasti sudah sedia maklum bahawa Allah telah mengilhamkan dua hala tuju kehidupan yang sangat kontra...

maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaanya,
[Q.S. As-Syams, 91:8]

dan pastilah sebagai hambaNya yang normal kita hendakkan kebaikan, bukan?

sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu),
[Q.S. As-Syams, 91:9]

Maka pastinya kita juga turut membina keazaman kita dan mula berbuat ke arah itu. Namun sangat kecewa sekali apabila kita sendiri yang memilih untuk terjatuh ke lembah kejahatan...

dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.
[Q.S. As-Syams, 91:10]

Lebih-lebih lagi apabila perkara sedemikian semakin bernanah dalam pemikiran kebanyakan masyarakat sekarang. Tatkala sedang berada dalam pergerakan yang melawan arus perdana dunia, kita telah melihat banyak perkara yang tidak betul sedang rancak terjadi di sekeliling kita. Jangankan masyarakat luar, bahkan kawan-kawan kita sendiri pun terlibat sama dalam masalah-masalah sosial pada era yang dikatakan globalisasi ini seperti merokok, couple, dadah, khalwat, merempit, melayari laman-laman 'kotor' dalam internet dan sebagainya. Orang-orang seperti ini selalu menyangka bahawa inilah ertinya kebahagiaan, sedangkan kebahagiaan yang hakiki selalunya kekal secara berterusan dan bukan mendatangkan kebinasaan.

...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:216]

Banyak lagi sebenarnya produk-produk kebahagiaan yang berjaya ditawarkan oleh sang jurujual yang sentiasa setia bersama kita dan sentiasa tersembunyi serta tidak terlihat mahupun didengar secara jasmaninya. Siapakah jurujual itu?

"Sesungguhnya ia (syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman."
[Q.S. Al-A'raf, 7:27]

Itulah syaitan. Sentiasa berlagak menjadi sang hero penyelamat kita di kala senang mahupun susah kita. Di kala kita mula didatangi dengan ujian-ujian yang mereka perlihatkan sebagai peluang untuk mereka mengambil peranan mereka dalam berebut-rebut melepaskan hawa nafsu dari kandang iman kita. Dekatnya kita dengan ayat-ayat Allah itulah yang sebenarnya memperkukuhkan kekuatan kandang keimanan kita untuk menjinakkan hawa nafsu yang sentiasa membuak-buak dalam hati ini. 

Dan barangsiapa berpaling dari pengajaran Allah Yang Maha Pengasih (Al-Quran), Kami biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya.
[Q.S. Az-Zukhruf, 43:36]

Cuma apabila masyarakat tidak mahu mengambil ikhtiar, bahkan tidak mahu mengorbankan waktu walau sedetik sahaja untuk mentadaburi (memerhati, memahami dan menghayati) ayat-ayat Al-Quran, beginilah realitinya apabila masyarakat semakin terbiasa dengan pemikiran mereka bahawa...

"hanya dengan belajar itulah caranya sahaja mengejar kebahagiaan kerana dapat mengejar posisi-posisi tinggi pada alam kerjaya kelak dan dapatlah duit poket yang banyak... boleh beli rumah baru, kereta mewah, biar bangga sedikit apabila berkeluarga nanti... takdelah nampak low class sangat... orang tetap hormat..."

atau permikiran ini mungkin ditentang dengan...

"Apasal nak belajar kaw-kaw sangat? Enjoylah sementara hidup kita hanya sekali ni! Jom, aku ada game best-best punya, jom main sama-sama!"

atau mungkin ada pemikiran sebegini...

"...jom berjalan-jalan beli-belah dekat shopping mall jap! Untunglah ada kereta baru ni. Boleh beli baju-baju baru... Meh nanti aku tunjukkan kau satu tempat yang pasti kau tak mau lepas punyalah! Banyak chicks dowh..."

itulah kebahagiaan yang mereka tafsirkan, sama ada dalam aspek kewangan, harta, pangkat, populariti, seks dan sebagainya sedangkan perkara-perkara sebegini hanya tertuju ke arah memuaskan hawa nafsu semata-mata jika disalahgunakan dan bertentangan dengan syariat Allah.

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.
[Q.S. Ali Imran, 3:14]

Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?
[Q.S. Al-An'am, 6:32]

gambar hiasan

Sedarkah Kita, Inilah Masyarakat Sekarang



Seorang senior saya pernah menceritakan bahawa sewaktu dia masih dalam asasi di IPT tidak silap saya pada tahun 2007 atau 2008 itu pun sudah mula ada kes seorang siswi didapati mengandung hasil perlakuan haram dengan seorang siswa. Terbukti di dada akhbar terbitan 'Harian Metro' pada waktu itu, 'Seorang Pelajar IPT di Tronoh yang Membuang Mayat Bayi di dalam Sebuah Bilik Asrama' (Lanjutannya boleh dibaca dengan mengklik pautan ini). Serius, sedangkan penyakit akhlak sebegini sudah terjangkit di IPT, apatah lagi masyarakat luar sana yang semakin menjadi-jadi sekarang ini? Statistik kini telah pun menunjukkan bahawa 152, 182 dicatatkan kelahiran anak luar nikah dalam masa tiga tahun iaitu pada tahun 2008 hingga 2010. Jumlah ini bukanlah suatu yang sedikit hasil perlakuan haram antara dua insan yang berlainan jantina, belum lagi dikira jumlah anak luar nikah yang tidak didaftarkan atas masalah kes penguguran, pembuangan dan pembunuhan bayi. Jumlah 152,182 ketika dibahagi dengan 3 tahun menunjukkan lebih kurang 50,727 anak luar nikah yang dilahirkan saban tahun. 50,727 anak luar nikah / tahun ketika ditukar unit tahun kepada hari (1 tahun = 365 Hari) mampu menjelaskan lagi jumlah harian sebanyak lebih kurang 139 anak luar nikah yang lahir SETIAP HARI. Mari dibahagi lagi dengan 24 jam sehari bagi mendapatkan purata kelahiran dalam waktu sejam iaitu lebih kurang 6 anak luar nikah SETIAP JAM. [Sumber : Utusan Online 16/11/2011]


Sejenak syaitan mula berjaya meliarkan hawa nafsu kita, pada detik itulah kita mula sentiasa dikaburi dengan kebahagiaan-kebahagiaan dunia secara perlahan-lahan yang akhirnya menghambat iman kita jatuh terbinasa...

Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.
[Q.S. Al-A'raf, 7:179]

"...seperti haiwan ternak..."

Inilah gelaran penghinaan yang Allah berikan kepada manusia-manusia yang hanya hidup berorientasikan hawa nafsu sehinggakan jatuh terlepas daripada gapaian nurani kita pada hidayat Allah. Semoga kita semua yang terbaca ini mulalah inisiatifkan diri segera bertaubat dan memperbetulkan kesilapan kita jika terasa masih seperti tergolong dalam orang-orang  yang sebegitu.

Penghijrahan Nurani Suatu Ujian


Sebagai golongan-golongan yang ingin kembali ke hala tuju yang sebenar ini, kita sepatutnya sudah sedia maklum bahawa kita bakal berhadapan dengan golongan-golongan yang teruk ini dan kita mula melihat keadaan-keadaan ini asing dengan mata hati kita, bukan lagi nampak biasa dengan mata dunia yang selama ini menopengkan kita. Kita sudah mulai rasa tidak biasa nampak orang lain bermain game sehingga lalai, merasa geli melihat orang lain yang jalan berpasangan antara dua insan berlainan jantina yang bukan muhrim, merasa tidak suka melihat orang lain mendedahkan auratnya tanpa rasa malu, rasa terasing apabila orang ramai sekeliling kita bercerita tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah di kala kita cuba mengelaknya... Inilah antara ujian-ujian yang Allah janjikan kepada kita jika kita ingin membalikkan diri kita kembali menjadi beriman.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?
[Q.S. Al-Ankabut, 29:2]

Allah bukannya hendak melihat keimanan kita melalui lisan semata-mata, malah ingin melihat bukti yang nyata bahawa kita betul-betul beriman dengan bagaimana kita mengaplikasikan keyakinan tersebut dalam bentuk amalan dan perlakuan tatkala mengharungi dugaan-dugaan yang pastinya kita hadapi dalam hidup ini.

Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang  yang dusta.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:3]

Bukan setakat merasa terasing dan tidak biasa, malah terkadang kita juga bakal menerima pelbagai bentuk cemuhan, cacian, kutukan dan sespesies dengannya daripada berbagai-bagai jenis manusia yang setiap daripada mereka tekandung bermacam bentuk ragam dan latarbelakang. Kalau kita rasa perkara-perkara ini berat untuk kita tempuhi, ingatlah bahawasannya ada orang-orang beriman terdahulu yang terpaksa terpikul dengan dugaan yang jauh lebih berat lagi daripada itu.

...Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai-bagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatla, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:214]

Saya yakin kita semua pasti pernah telusuri kisah-kisah perjuangan umat-umat Nabi Muhammad terdahulu serta umat-umat para nabi lainnya. Lihatlah bagaimana umat-umat Nabi Muhammad s.a.w. terdahulu menghadapi ujian dan dugaan yang begitu dahsyat sehingga sanggup membiarkan masa, harta, tenaga bahkan nyawa mereka terkorban hanya semata-mata ingin menggapai keredhaan Allah. Itulah hasil tarbiyah baginda terhadap umat baginda terutama sekali terhadap sahabat-sahabat terdekat baginda, di mana produk yang ditinggalkan oleh baginda hanyalah sahabat-sahabat serta para pejuang Islam lain yang mempunyai kualiti iman yang sangat kental. Bilal merupakan salah satu contoh yang tidak boleh kita terlepas pandang. Walau diseksa oleh tuannya dengan dipakaikan baju besi lalu dijemurkan di tengah padang pasir yang sangat panas, ditambah lagi dengan badannya diseret ke lereng-lereng gunung lalu diletakkan batu besar di atas badannya yang terjemur perit itu, namun beliau tidak mempedulikan seksaan-seksaan sebegitu dan berterusan melontarkan ucapan "Ahad! Ahad!" (Allah Yang Esa! Allah Yang Esa!) yang membuktikan kekentalan iman beliau demi menggapai kebahagiaan yang dijanjikan Ilahi.

Ada banyak lagi kisah-kisah yang boleh dijadikan contoh dalam perjuangan hidup kita, dan semuanya menunjukkan betapa banyaknya dan pentingnya pengorbanan yang perlu dilaksanakan sebagai penebus bagi memperoleh kejayaan dalam menempuh ujian-ujian hidup.

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:207]

Jadikan Ujian Suatu Pendokong Iman

Hendakkan kejayaan Islam, binalah iman yang teguh dalam sanubari keyakinan kita pada Allah. Dosa-dosa yang tergelumang tolong dibersihkan dengan taubat. Kotoran-kotoran kejahiliyahan yang masih terhinggap di hati tolong dihapuskan. Perintah-perintah Allah dan sunnah-sunnah rasul tolong diamalkan dan larangan-larangan agama tolong ditinggalkan. Amalan-amalan sunat yang merundum dan selalu dipandang ringan tolong diambil berat dan diperbaiki dengan lebih gencar lagi. 

Jika ujian diibaratkan seperti angin, kita akan didatangi dengan angin tersebut tanpa dipanggil mahupun menggerakkan diri kita ke arah itu. Boleh jadi dalam bentuk yang bertiup sempoi, iaitu berupa nikmat yang membawa kesenangan dan kegembiraan. Dan boleh jadi dalam bentuk yang bertiup kencang, iaitu berupa musibah yang membawa penderitaan dan kepayahan. Terkadang ramai antara kita ini mampu menahan ujian berbentuk musibah yang begitu dahsyat sekali dengan secara automatiknya begitu kuatnya keyakinan kita kepada Allah. Namun di saat tibanya ujian yang berupa kesenangan, itulah yang selalu manusia kalah akibat tertipu dengan keseronokannya. 

Walau apa jua bentuk ujian tersebut, ketahuilah bahawa kita sudah pun bersedia untuk mencurahkan pengorbanan yang boleh jadi membebankan kita, dan dengan itu kita telah pun mempersiap-siapkan diri kita dengan keimanan yang kental dan penuh yakin akan pertolongan Allah. Jangan lupa ada satu lagi elemen penting yang perlu dititikberatkan dalam menempuh ujian:

"Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."
[Q.S. Al-Baqarah, 2:155]

Kesabaran. Itulah antara suatu kepastian yang bakal membawa manusia yang berjaya menempuh ujian ini ke arah imbalan yang Allah janjikan. Ada masanya kita pernah atau akan hadapi ujian yang mengambil jangka masa yang sangat panjang sehingga tercabar keimanan kita. Jangankan sebegitu, bahkan ujian yang sekejap sahaja pun ada yang tidak mampu bertahan. Berpanas untuk satu jam sahaja pun tidak mampu bertahan. Baru mendapat kutukan sedikit sahaja pun cepat runtuh semangat. Maka kesabaran jualah yang menjadi sistem keselamatan untuk memelihara keimanan kita, dan kesabaran itu memang berkadar terus (directly proportional) dengan iman kita. Jadi sekali lagi, tolong periksa kembali iman kita.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok...
[Q.S. Al-Hasyr, 59:18]

Tak perlu mengeluh di saat ujian tiba, kerana Allah telah pun janjikan pada kita...

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...
[Q.S. Al-Baqarah, 2:286]

Yakinlah, Ujian yang kita hadapi memang telah Allah sesuaikan dengan kemampuan dan kesanggupan kita.

"Err, rasanya saya tak mampulah nak hadapi semua ni..."

Itu silap. Mampu atau tidak, Allah telah setelkan. Cuma apa yang tinggal hanya mahu atau tidak. The choice is in our own hands...

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
[Q.S. At-Taubah, 9:41]

credit to http://muslimdoktor.blogspot.com/

Akhir kata sempena melangkau menjejaki tahun baru 2012 ini, perbaharuilah apa jua keburukan yang sebelum telah biasa kita lanjurkan menjadi kebaikan yang disertakan dengan keazaman yang utuh yang bakal kita warnakan. Semoga ujian yang sentiasa kita tempuhi ini dapat dijadikan batu loncatan untuk menggerakkan diri kita untuk beramal dan terus menjana keimanan demi menggapai redhaNya. Segala bentuk kebaikan yang disampaikan tolong disematkan dan diamalkan, dan segala bentuk kesilapan yang membuatkan pembaca terguris hati dan sebagainya saya memohon maaf dan sama-samalah kita memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas dosa dan kesilapan yang pernah kita lakukan. 

Wallahu'alam... ^__^


No comments :

Post a Comment