Friday 2 March 2012

Jadilah Pencari Syurga

Hmm... nampaknya blog ini semakin berhabuk dan mesti diperkemaskinikan. Saya mesti lakukan sesuatu...

Bismillahirrahmanirrahim...

*sapu*sapu*...

Biar nampak lawa sikit...

*sapu*sapu*susun*susun*...

Ha! Jeng, jeng, jeng!



Alhamdulillah, sekali lagi umur kita masih lagi diperpanjang dan jiwa kita masih dipertemukan bersama-sama melibatkan diri dalam siri pencarian cinta yang sejati dan kekal abadi, itulah Mahabbatillah (yakni cinta Allah). Segala yang Allah turunkan pada diri kita bukanlah ditakdirkan hanya menjadi bahan mainan dalam hidup kita semata-mata kerana setiap perkara walau sekecil-kecil nkmat yang kita rasai pasti tidak akan mejadi sia-sia bagi sesiapa yang sedar bahawa mereka perlu mensyukuri nikmatNya. Namun walau sejauh mana kita menyedari hakikat kesyukuran yang perlu kita berikan itu, adakah kita betul-betul senantiasa menyapukan losyen kesedaran itu pada setiap pelosok tubuh kita agar dijadikannya sebagai amal perbuatan?

Kepada yang baru tersuntik rasa kesedaran untuk berIslam bersungguh-sungguh dalam siri pencarian ini, ketahuilah bahawa hidayah yang Allah turunkan kepada kita sangat mahal harganya dan kita takkan pernah terjangka untuk memperolehinya kerana pemberi hidayah itu hanya khusus daripada Allah semata-mata.

“Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” 
[Q.S. Al-An’am, 6:125]

Namun bagi yang masih terkapai-kapai mencari kebahagiaan sejati yang diidam-idamkan, cuba lihat kembali hal yang mengidam-idamkan itu sama ada berorientasikan tuntutan ke arah kebaikan atau hawa nafsu semata-mata? Sudah cukup dengan kehidupan yang kita alami, kesihatan yang kita nikmati, suasana yang kita rasai, kemudahan yang kita perolehi, masih apa lagi yang kurang buat kita? Nikmat makanan yang ada kita lahap tanpa puas, nikmat masa yang ada kita bazir dengan perkara yang sia-sia, nikmat kewangan yang ada habis boros dipulun ke arah yang tiada manfaat pun buat agama, tubuh badan yang sihat kita binasakan dengan alat-alat kehancuran seperti rokok, arak, aset-aset haram dan sebagainya...

Memang hakikat manusia, makhluk ciptaan Allah yang tidak pernah puas untuk mengaut segala yang dirasakan baik dan menyeronokkan buat diri mereka jika kemahuan mereka itu tidak ditapis dengan panduan hidup yang Allah turunkan, yakni al-Quran.

Dan sesiapa yang berpaling dari pengajaran Allah Yang maha Pengasih (Al-Qur’an), Kami biarkan Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), dan menjadi temannya karibnya.
[Q.S. Az-Zukhruf, 43:36]

Ramai sahaja yang mampu menterjemahkan al-Quran kepada bahasa perkataan, namun berapa ramaikah yang mampu menterjemahkannya ke arah bahasa perbuatan? Ramai sahaja yang mampu mencari masa sehingga sanggup mengorbankan tenaga deria yang ada hanya kerana nak belajar, berpatah tulang mencari rezeki, mengejar cita-cita, mengaut seberapa banyak jawatan dan sebagainya, namun berapa ramaikah yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka hanya demi meluahkan rintihan rasa cinta dan gembiranya untuk bermunajat dan mencari walau setitis pun keredhaan Ilahi? Saya yakin telah banyak ceramah yang telah kita dengari, telah beribu jenis nasihat baik yang diperolehi, telah berlambak pengajaran yang telah kita bertekad untuk ambilnya sebagai iktibar, namun tidak akan berguna semua medium itu jika kita sendiri masih lagi menunda-nunda untuk beramal dengan bersungguh-sungguh dan masih lagi bermanja-manja dengan hakikat pengorbanan yang sepatutnya kita curahkan agar dapat digantikan dengan syurga Ilahi.

Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan Syurga; mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh dan mereka dibunuh; itu ialah satu janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan al-Qur'an; dan siapakah yang lebih menepati perjanjiannya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli kamu yang kamu memperjualbelikan dengan-Nya; itulah kemenangan yang besar.
[Q.S. At-Taubah, 9:111]

Jadi marilah sama-sama kita melakukan transformasi pada diri kita, daripada status pencari dunia semata-mata kepada pencari syurga. Semoga segala pengorbanan yang kita curahkan tidak akan pernah menjadi rugi buat diri kita dan agama Allah selama-lamanya.


No comments :

Post a Comment