Sunday 11 March 2012

Tolong Istiqamah!


Hari-Hari yang seperti Biasa

Di hening waktu subuh yang agak subur atmosferanya, kami tetap menyuburkan diri seperti biasa dalam solat subuh kami di masjid rasmi yang terletak Universiti Teknologi Petronas, di mana ia merupakan salah satu daripada rumah-rumah Allah yang sangat dituntut untuk diimarahkan. Namun sekali lagi, tidak ramai lagi berat hendak melapang-lapangkan hati untuk mengimarahkan rumah-rumah Allah seperti ini. Satu saf pun belum cukup sampai lagi.

Nak kata tentang siapa-siapa yang selalu datang ke masjid di sini bukanlah perlu diambil kisah sangat sebab ada lagi beberapa buah surau yang telah didirikan di setiap cerucuk desasiswa yang ada dan selalu diimarahkan. Selalunya ana cuma solat di surau-surau desasiswa 2 atau 3 (atau lebih dikenali sebagai Village/V2 dan V3) di mana surau tersebut hanya berdekatan dengan bilik penginapan ana, cuma hari ini merupakan hari yang biasa bagi melaksanakan gerak kerja seorang murabbi (guru) ataupun dianggap sebagai hari yang pelik bagi orang lain terhadap ana. Cuma apa yang timbul di benak fikiran ana, mengapa tidak ramai yang mampu hendak beristiqamah dalam memelihara amalan solat Subuh mereka?


Hari-Hari yang Bukan seperti Biasa

Setelah menyegarkan diri ini dengan mandi sejenak, ana dan Akhi Zuhdi sedang membanting tulang bersiap-siaga dengan sekadar yang cukup kerana tidak mempunyai masa diperuntukkan yang cukup seperti yang telah kami rancangkan bersama untuk menepati masa perjalanan kami ke suatu tempat yang jauh cuma bagi orang lain, mereka tidak berapa nampak tujuan yang jelas mengapa kami perlu ke sana dan menganggap bahawa kami hanya seolah-olah membazir masa. Namun bagi kami, tujuan kami tersangatlah jelas dan memang semua orang ingin kecapi: hanya demi mencari keredhaan Allah. Tidak semua orang yang mahu berbuat seperti ini, bahkan yang ada hendak berbuat pun tidak banyak yang mampu istiqamah, dan hanya segelintir sahaja yang dipilih oleh Allah yang sanggup mewakilkan diri untuk terus berada di kotak perjalanan sebegini.

Dengan hanya berbekalkan beberapa puluh ratus ringgit sahaja, serta ber'kuda'kan Walabi (Proton Satria) yang kami pinjam daripada ikhwah (saudara) lain, kami manfaatkan sepenuhnya aset yang kami bawakan ini (termasuklah bahan ilmu yang sudah cukup-cukup kami sediakan) dalam menempuhi perjalanan amalan yang digambarkan sebagai sunnah terbesar junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., iaitu sunnah berdakwah. Sepanjang perjalanan ke destinasi yang ingin kami tujui, nampaknya kami terpaksa melayan karenah Walabi yang kami naiki ini dengan gear handle-nya yang sangat keras membatu, serta enjinnya yang begitu sensitif kemanjaannya sehingga sentiasa mati berkali-kali. Maklumlah, ana pun memberi respon tentang hal ini dengan mengatakan, "Hmm, begini rupanya dakwah ye..." Akhi Zuhdi terdengar omongan sinis ana bersama dan kami tergelak sinis bersama :D

Setibanya di Kolej MARA Kuala Nerang (KMKN), kami terus bertindak segera dengan menemui mad'u (golongan yang didakwahi) kami, memberi arahan mesra untuk memanggil mad'u-mad'u serta kawan-kawan mereka yang lain kalau ada untuk berkumpul bersama, dan memulakan halaqah. Ya, inilah destinasi yang memang telah kami tetapkan untuk kami tujui dari awal lagi, hanya sekadar hendak menghidupkan dakwah di sini. Dipendekkan kisah perjalanan kami dari Tronoh (tempat UTP bertapak), Perak sehinggalah ke Kuala Nerang, Kedah hanya mengambil masa selama 6 jam sahaja. Belum lagi ditokok tambah dengan hal berehat seketika serta kesesakan trafik dan sebagainya. Bukan untuk tujuan melancong, sekadar meluputkan kebosanan atau berhibur pun, cuma hendak mengikuti halaqah di sana sahaja. Ini bukanlah kali pertama ana berbuat seperti ini, namun inilah kali pertama ana (cuma sekadar menemani) mengikuti Akhi Zuhdi untuk mengalami sendiri perkembangan dakwah di sana. Ini mungkin menjadi hari yang sudah biasa buat kami, tetapi bagi orang yang mula memandang pergerakan kami, pastinya ini suatu perbuatan yang luar biasa bagi mereka.


Tolong Serius dalam Halaqah!

Selepas halaqah...

"Zaim, nak bincang sekejap..."

"Ow, boleh akhi..."

Ana mula mencelah,

"By the way Zaim, antum kira dah semester 2 la kat sini?"

"Ha'ah camtulah. Kira semester akhir la ni, pastu baru ana nak trus sambung belajar kat UPM, ambil accounting, he he..."

Sementara berbual mesra bersama Akhi Zuhdi dan Zaim, kami menunggu masa yang tepat untuk membuka bicara utama yang Akhi Zuhdi ingin sampaikan, lalu duduklah kami di dalam surau KMKN dengan penuh santai...

Akhi Zuhdi membuka bicara,

"Pasal ni... sebenarnya ana cuma nak tegur perbuatan diorang yang lain tu supaya tolong istiqamah dalam halaqah kalau diri betul-betul rasa nak tingkatkan keimanan..."

Betul juga. Apabila memerhatikdan keadaan semasa halaqah yang baru sahaja habis diadakan tadi, ada di antara mad'u yang ana nampak masih terkial-kial dengan kemanjaan dan loya buruk mereka, dan ada juga yang tidak tahu apa-apa pun berkenaan pertemuan seperti ini. Mereka yang tidak tahu apa-apa dan asyik membangkitkan musykilah tentang apa yang membuatkan halaqah ini menjadi keutamaan, itu kemungkinan besar mereka masih baru mengikuti pertemuan halaqah sebegini, jadi tak perlu dihairankanlah bagi ana. Tetapi ada sahaja di antara mereka yang ana yakini telah lama ditarbiyah dalam halaqah namun diri mereka masih tidak terbentuk seperti orang yang ditarbiyah. Prasangka ana menyatakan,

"Hmm, mungkin itu bergantung pada sikap mereka yang masih berdegil macam tu walaupun dah konsisten ikut halaqah..."

Tetapi apabila memerhatikan kenyataan Akhi Zuhdi bahawa,

"...mereka tu kalau asyik sahaja dengan perangai mereka yang sekadar cuma datang tak datang ikut suka mereka, hanya sekadar datang bila mereka mau je, tak perlu diberikan macam-macam peluang pada mereka ni kerana jika mereka sendiri tak mau serius dalam menjaga keimanan mereka, baik takyah ikut halaqah trus..."

...ana rasa ana memang dah terlalu bersangka baik pada mereka, sedangkan Akhi Zuhdi telah lama mengenal mereka semenjak sekian lama dia hidupkan halaqah di KMKN. Terkadang bukan hanya sekadar halaqah, malah usrah-usrah yang lain pun ada juga yang telah pun menggambarkan hakikatnya bahawa hanya ada beberapa orang sahaja yang kekal untuk terus mengikuti pertemuan berharga seperti ini hanya kerana - ingin bersungguh-sungguh mencari kebaikan.


Tolong Istiqamah!

Ana yakin bahawa kebanyakan kita yang selalu terbiasa dengan suasana seperti usrah, halaqah dan sebagainya, pastinya mempunyai salah satu daripada dua persepsi ini: mengikuti usrah/halaqah ini hanya sekadar pertemuan santai sahaja. Atau - konsisten dalam usrah/halaqah ini hanya kerana ingin membina keimanan dan kualiti-kualiti lain dalam diri serta ingin menggapai redha Allah. Sememangnya bagi yang hanya mengikuti halaqah sekadar endah tak endah, tolong istighfar banyak-banyak dan muhasabah diri ini kembali. Mungkin kita tidak memandang serius halaqah ini hanya kerana menganggap pertemuan ini cuma sekadar mengisi masa kosong semata-mata, namun...

Melalui medium apa lagi yang kita ingin ambil dalam memastikan keimanan kita terpelihara kalau bukan melalui halaqah seperti itu?

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, "Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis," maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, "Berdirilah kamu," maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu bebrapa darjat. Dan Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Al-Mujadilah, 58:11]

Pastinya bagi yang selalu mengikuti halaqah, adanya yang dipanggil sebagai pemantauan mutaba'ah. Inilah yang sentiasa memastikan amal ibadat kita sentiasa mendapat pantauan secara berkala dan menjadikan amal ibadat kita pada waktu ke depan sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sedangkan kalau kita cuba ringankan masa sedikit untuk menelusuri sirah tarbiyah zaman baginda Rasulullah s.a.w., baginda berkumpul dengan para sahabat baginda breamai-ramai, dan baginda memulakan bicara seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (1/421-422 dan 2/382) dan Al Bukhari di dalam Al Adabul Mufrad (hal 157):

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini berpuasa?”

Abu Bakar r.a. menjawab, “Saya.”

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini menziarahi orang mati?”

Abu Bakar r.a. menjawab, “Saya.”

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini memberi makan orang miskin?”

Abu Bakar r.a. menjawab, “Saya.”

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini menjenguk orang sakit?”

Abu Bakar r.a. menjawab, “Saya.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak berkumpul hal-hal ini di dalam diri seseorang kecuali dia akan masuk surga.”

[H.R. Muslim]


Hadith ini jelas menunjukkan betapa para sahabat dulu sangat-sangat menjaga mutaba’ah amal mereka. Walaupun mereka sibuk memikirkan masalah-masalah peperangan dan kemesalahatan umat ketika itu, mereka masih tidak lupa untuk menjaga hubungan mereka dengan Allah. Dan apabila difikirkan kembali hal ini, adakah Abu Bakar, salah seorang daripada 10 orang sahabat yang dijamin syurga, sengaja memberi respon kerana riak? Tentunya tidak, ya ikhwatu wa akhwat. Bagaimana pula dengan kita? Sudah cukupkah kita menjaga mutaba'ah amal kita di saat kita sedang bersenang lenang dan punya banyak masa-masa terluang?

Maka tetaplah (istiqamah) engkau (Muhammad) (di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
[Q.S. Hud, 11:112]

Merujuk kepada Asbabun Nuzul , semenjak surah ini diturunkan kepada baginda, baginda terlalu memikirkannya selari dengan masalah umat baginda sehingga beruban rambut baginda. Jikalau kita lihat sendiri usaha Albert Einstein yang terlalu banyak berfikir tentang bidang yang dia ceburi sehingga beruban rambtnya, Rasulullah hanya sekadar hendak memikirkan soal hendak menerapkan nilai istiqamah dalam umat pun begitu sukar bagi baginda, apatah lagi hal-hal lai dalam surah tersebut. Istiqamah memang suatu nilai yang agak sukar diterapkan dalam diri kita, namun ini sudah menjadi kewajipan kita bersama agar dapat dilaksanakan seperti yang telah dituntut oleh Allah dalam ayat tersebut. Mungkin sahaja murabbi kita boleh jadi kebingungan hanya kerana soal hendak memastikan keberadaan mad'unya yang berterusan dalam halaqah, jadi tolong jangan menjadi ulat yang memakan daun pemikiran orang lain, terutamanya murabbi kita yang memikirkannya, lebih-lebih lagi junjungan kita Rasulullah yang jauh lebih teruk memikirkannya.



Mengapa kita terkadang boleh memperlekehkan soal istiqamah dalam meraih sebanyak-banyak kebaikan yang menjadi pembela diri kita di akhirat kelak? Mengapa kita asyik mensia-siakan setiap butir pertemuan halaqah yang sangat-sangat bermanfaat buat diri kita? Mengapa kita asyik menunda nikmat tarbiyah yang sepatutnya kena kita tepati lantaran pelbagai kejadian teruk yang membawa ke arah kelemahan umat Islam kini? Kita mungkin telah sedia maklum bahawa Ghazwul Fikr (perang pemikiran) sering sahaja tidak berhenti-henti teresap ke dalam pemikiran kita, jadi mengapa perlu kita menunda pertemuan yang memang sangat-sangat dituntut dan menjadi kewajipan dalam konteks masyarakat kita sekarang?

Mengapa kita senantiasa tidak menghargai nikmat Islam dan iman yang sepatutnya menjadi nilai yang tersangatlah jauh lebih berharga buat kita? Kita mungkin boleh menunda-nunda untuk beramal lantaran alasan kesibukan yang kononnya menimpa kita, tetapi adakah jaminan bahawa di saat umur kita semakin meningkat dan begitu juga kesibukan yang semakin membuak akan adanya masa lapang untuk beramal?

Ingatlah, kamu adalah orang-orang yang diajak untuk menginfakkan (hartamu) di jalan Allah. Lalu di antara kamu ada yang kedekut, dan barangsiapa kedekut maka sesungguhnya dia kedekut terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah Yang Maha Kaya, dan kamulah yang memerlukan (kurniaNya). Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar) Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan (derhaka) seperti kamu.
[Q.S. Muhammad, 47:38]

InsyaAllah setiap bentuk nikmat yang kita perolehi pasti ada hikmahnya. Jadi tolong manfaatkanlah nikmat tarbiyah yang antum peroleh itu dengan sebaik-baiknya selagi masih ada bantuan daripada nikmat kehidupan antum sebelum kesemua nikmat tersebut ditarik balik akibat kesilapan antum sendiri terhadapNya. Ditarik balik, selama-lamanya (na'uzubillah...).

No comments :

Post a Comment