Friday 16 March 2012

Travelog Hidayah


Tajuk Buku : Travelog Hidayah
Penulis : Muhammad Rashidi Abdullah
Terbitan : PTS Islamika Sdn. Bhd.


Pernahkah kita berfikir sedetik untuk menyatakan rasa kesyukuran yang bersungguh-sungguh penuh keikhlasan ke hadrat Sang Pencipta Yang Maha Pemberi Nikmat yang tidak terkira bilangannya terhadap kita? Terutamanya nikmat Islam dan iman yang kita semua yakini sebagai kunci untuk menuju syurga Rabb kita? Mungkin sebahagian besar daripada kita semua tidak pernah tercetus perasaan sebegitu rupa atas kurniaan kedua-dua nikmat hebat ini sejak lahir lagi. Kita mungkin tidak nampak perkara ini sebagai suatu rahmat besar yang Allah berikan kepada kita mungkin kerana memang dididik dengan pengetahuan agama tanpa mengambil berat pun dalam memahami apa pentingnya diri ini sebagai seorang Islam, bukan sekadar itu sahaja bahkan perlunya memelihara keimanan pun tidak pernah diambil kisah apa keutamaannya menitikberatkan hal sebegini. Hanya tahu sekadar mentaklid dan mengikut sahaja. Namun pernahkah kita terfikir tentang nasib orang-orang yang bukan seagama dengan kita dalam melihat kotak kehidupan mereka, bahkan nasib mereka di akhirat kelak? Kita sedia maklum bahawa agama kita agama yang terbaik dan terbenar, jadi mengapa masih bermalas-malasan dalam mengambil peluang hebat ini untuk dimanfaatkan terhadap diri sendiri dan orang lain di jalan yang diredhaiNya?

Melalui buku ini penulis merungkaikan persoalan-persoalan berdasarkan pengalaman hidup yang pernah dilalui beliau. Untuk pengetahuan anda berkenaan sedikit biodata beliau, Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah memeluk Islam pada tahun 2002 dan mendaftar secara rasminya pada 23 September 2003 di Majlis Agama Islam, Selangor. Berasal dari keluarga yang menganuti Kristian Katolik, di mana juga ibu dan dua orang abang beliau merupakan penganut yang taat dan mempunyai jawatan dalam gereja. Beliau sendiri pernah menjadi pembantu paderi selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Sudah berjaya mengislamkan 13 indicidu termasuk sekeluarga sepanjang berdakwah di lapangan dakwah melalui internet, diskusi dan medium lain.

Beliau kini aktif dalam menyampaikan ceramah, kuliah, pembentangan kertas kerja, ahli panel forum di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan korporat dan swasta, institusi pendidikan seperti sekolah menengah dan rendah, universiti dan institut latihan, masjid dan surau seluruh negara. Beliau juga sering dijemput oleh jabatan kerajaan, swasta mahupun institusi pendidikan, syarikat-syarikat motivasi dan latihan sebagai penceramah, ketua fasilitator serta pengarah program.

Menyedari diri beliau tidak memiliki tahap pengajian yang tinggi seperti penulis-penulis lain, beliau sentiasa memohon agar Allah mempermudahkan penulisan ini, justeru memberkatinya. Namun, keinginan yang terlalu kuat bagi berdakwah membuatkan beliau menjadikan penulisan sebagai medan bagi meneruskan misi sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi dengan hanya mengharapkan redha Allah jua.

Berikut merupakan beberapa persoalan dan topik utama yang dikongsikan oleh beliau sepanjang perjalanan kandungan buku ini:

Kehidupan Di Alam Jahiliyah
Bicara Tentang Hijrah
Bagaimana Memulakan Hijrah?
Hidayah Sumber Kekuatan Hijrah
Besarnya Kuasa Hidayah
Menuju Puncak Impian
Krisis Keyakinan
Perjalanan Bertemankan Keyakinan
Perjalanan Mencari Ilmu
Catatan Khas: Perjalanan Dakwah

Persoalan-persoalan yang dikongsikan bukan sahaja patut dipertanyakan oleh insan seperti beliau dan para pendakwah yang lain, namun perkara ini teramatlah penting bagi kita sendiri sebagai seorang yang memang sudah diakui sebagai Islam bertanyakan kepada diri kita masing-masing. Sudahkah kita betul-betul menyifatkan diri sebagai seorang Islam sepenuhnya? Adakah kita betul-betul ikhlas dalam beramal sepenuh hati kita dalam hidup ini berlandaskan syariat Islam yang ditetapkan Allah? Adakah betul-betul ikhlas hubungan cinta kita kepada Allah? Kita mengakui bahawa kita mencintai junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. yang selama ini berhempas pulas sepenuh jiwa dan raga demi menegakkan Islam, tetapi mengapa kita masih sanggup mensia-siakan apa yang diperjuangkan oleh baginda hanya kerana memenuhi kepentingan hawa nafsu yang tidak membuahkan faedah pun?

Cukuplah dengan ke'istiqamah'an masyarakat kita dalam belenggu kemaksiatan mereka, mengapa tidak kita yang mencetuskan 'reverse-bias' untuk menyuburkan kembali roh Islam dalam diri serta orang lain? Teruskan kita mengagungkan kisah kehebatan serta keunggulan usaha Rasulullah dan para sahabat baginda serta hero-hero Islam  lain yang terdahulu mahupun terkini dalam menyebarkan dakwah, namun bila lagi kita hendak melakarkan kisah kehebatan kita dalam jalan yang diredhai ini?

Diharap agar dapat diperhalusi pertanyaan tersebut dan mulalah cetuskan semangat Islam dalam diri kita untuk menghidupkan roh yang mulia ini dengan sesungguh-sungguhnya.

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]

No comments :

Post a Comment