Thursday 14 July 2011

Cukupkah Sekadar Itu Sahaja?

Assalamualaikum w.b.t...

Kepada akhi wa ukhti (saudara dan saudari) di sana yang masih terkial-kial dalam mencari kebenaran, termasuk diri saya sendiri...

Sekali lagi diperingatkan bahawa masa hanya boleh merugikan diri kita sendiri jika kita tidak memanfaatkan setiap detik tersebut di jalan yang diredhaiNya. Rujuklah kembali surah lazim yang sudah lazim kita mendengar dan membacanya, yakni surah 103. (jikalau tidak tahu surah apakah itu, muhasabahkanlah diri untuk membelek al-Quran dan mengingatinya...)



Masa yang kita ada dalam hidup ini, tidak lain, tidak bukan, hanya untuk dimanfaatkan agar dapat kita beribadah kepada Allah. 
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia mlainkan agar mereka berbadah kepadaKu."
[Q.S. Adh-Dhariyat (51:56)]
Kita sudah cukup tahu bahawa setiap masa yang berdetik-detik berlalu meninggalkan kita itu sangat berharga buat kita... 
Namun sudah cukup fahamkah kita tentang ini kerana rasanya sudah tidak terhitung lagi masa yang telah kita bazirkan beberapa detik sebelum ini... 
Jikalau sudah cukup faham, sudah cukupkah hanya sekadar memahaminya sahaja tanpa beramal dengan apa yang difahami itu?
Cara pembelajaran yang sempurna bagi sesiapa yang masih mempunyai akal untuk berfikir...
"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?"
[Q.S. Al-Qamar (54:17)]
Kehidupan kita sudah cukup dipermudahkan dengan kalam suci yang diturunkan olehNya yakni al-Quran sebagai rujukan kepada kita sekalian agar dapat menembusi pintu-pintu peluang untuk para hambaNya yang lemah ini untuk mengambil pengajaran. Namun jika difikirkan balik, cukupkah hanya sekadar sikap yang kita ada sekarang ini untuk menjalani kehidupan yang sementara ini sekaligus menggapai keredhaan Allah?

Tidak cukup, saudaraku... jika kita hanya sekadar berfikir bahawa kita sudah cukup bersenang-lenang dengan apa yang kita ada... TANPA DIUJI TERLEBIH DAHULU...
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."
[Q.S. Al-Ankabut (29:2-3)]
Jika sebelum ini kita fikir, "Cukuplah sekadar solat lima waktuku yang selalu aku amalkan dalam seharian ini," Cuba fikir kembali, "Cukup sempurnakah amalan seharianku jika hanya menunaikan solat lima waktu sahaja?"

Jika sebelum ini kita berpendirian, "Cukuplah sekadar ilmu yang aku pelajari dalam akademik ini sebagai medium untuk lulus dalam peperiksaan dan kerjaya," Cuba tanyakan kembali, "Cukupkah ilmu-ilmu yang aku peroleh ini untuk dimanfaatkan sebagai medium kesejahteraan di dunia dan di akhirat?"

Jika sebelum ini kita berpendapat, "Cukuplah dengan nikmat kesenangan kehidupan hari ini untuk mempertingkatkan keimananku dan mendekatkan diriku kepada Allah," Cuba renung kembali, "Cukup kentalkah keimananku jika diriku bakal diuji dengan nikmat kesusahan yang bila-bila masa sahaja akan menimpa kita? Cukup terasa dekatkah diri kita kepada Allah s.w.t. sedangkan kesenangan ini juga suatu ujian yang boleh jadi akan melalaikan kita daripada mengingatiNya?"

Tidak cukup sekadar itu sahaja, wahai akhi wa ukhti... Dalam menempuhi perjalanan menghijrahkan diri kita menuju rahmat Allah memanglah bukan sesuatu yang mudah, namun bukanlah menjadi pilihan yang bijak untuk tidak memilih jalan kebenaran sebagai jalan hidup kita, kerana Allah Azza Wa Jalla telah berfirman:
"Dan sungguh, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang jelas kepadamu (Muhammad), dan tidaklah ada yang mengingkarinya selain orang-orang fasik."
[Q.S. Al-Baqarah (2:99)]
Mengabaikan suruhan Allah yang terdapat dalam kitab suci ini sama sahaja seperti menjauhkan diri daripada ikhtiar dalam mencari kebenaran, dan sama juga seperti mencampakkan diri kepada kecenderungan dalam menyokong kebatilan. 

Dua sahaja pilihan dalam hidup kita, kebenaran atau kebatilan. Jika ini masa mudamu, lakukanlah perubahan dalam hidup untuk mengubah haluan supaya masih sempat berjalan di atas kebenaran kerana peluangmu masih luas terbuka dengan nikmat daya ketahanan fizikal yang paling mantap berbanding dengan tahap daya ketahanan fizikal pada peringkat-peringkat usia yang lain. Lakukanlah perubahan sebelum tibanya suatu masa nanti di mana kita sudah terlalu sibuk atau tidak terdaya untuk melakukan perubahan.

Cukupkanlah, bukan... malah lebihkanlah dari cukup amalan-amalan seharian kita dengan amalan-amalan sunat yang lain seperti bertahajud, membaca al-Quran, bersolat sunat Dhuha, bersedekah serta banyak lagi amalan-amalan lain yang bermanfaat.

Penuhkanlah akal dan fikiran kita dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Tidak cukup jika setakat ilmu akademik sahaja, maka burulah lagi ilmu-ilmu tarbiyah dan agama untuk dimuatkan dalam setiap pelusuk hati kita agar dapat dimanfaatkan sebagai jambatan untuk keperluan dunia dan akhirat.

Jika hidup kita berasa terlalu senang, latihlah diri kita untuk menjadi susah. Kesusahan itu dapat dijadikan sebagai parameter untuk mengukur sejauh mana kentalnya keimanan kita. 

Kesenangan yang berpanjangan tanpa kesusahan hanya akan mendodoikan ketabahan hati kita. Dan apabila musibah datang menimpa, sanggupkah kita menerima kesusahan sedahsyat itu? Dan apabila kemarau yang dahsyat datang menimpa, masihkah molekul air dapat bertahan dalam bentuk cecairnya?

Cukupkah sekadar meletakkan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai idola dalam hidup kita sahaja tanpa pernah bertindak untuk membuktikan usaha kita dalam mencontohi baginda?

Tanyalah pada lubuk-lubuk terdalam nutani kita... Cukupkah kehidupan kita sekadar itu sahaja?
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
[Q.S.Ali Imran (3:142)]

No comments :

Post a Comment