Tuesday 22 May 2012

Pesonality Plus - Jom Kenali Dirimu & Dirinya

Betapa rancaknya masa berlalu,
Sekian lama baru bertemu...

Berbekalkan sisa masa-masa yang ada sebelum kesibukan baru mula menyerang kembali,
Kini ALSY (Alwanul Syabab) menyempitkan masa dalam kesempatan ini untuk berkarya kembali...

Kali ini ALSY mengajak untuk kita sama-sama dapat memahami orang lain sekeliling kita dengan memahami diri kita sendiri.

Jom!

Versi Lelaki


Versi Perempuan

Dah nampak 2 ilustrasi di atas ni? (Nak ambil sebagai wallpaper boleh, silakan...) Ya, betul. Seperti yang telah tertera dalam tajuk post ini, kita akan cuba kenali dan selami keperibadian diri kita dan juga diri orang lain sekeliling kita. Tak kisah walau keluarga, kawan, sahabat handai, saudara rapat mahupun jauh, kita telah pun melalui pelbagai bentuk ragam dan karenah pelbagai paras bentuk dan rupa manusia di sekeliling kita secara khususnya serta masyarakat secara umumnya. Pasti dalam benak fikiran kita dah mula tertanya-tanya apa benda semua istilah sanguine, melancholy, choleric dan phlegmatic ni? Sedar atau tidak, inilah empat bentuk prinsip keperibadian yang terdapat dalam diri manusia, seperti yang telah diteorikan dalam buku 'Personality Plus', karya Florence Littauer (seorang tokoh penulis dan antara penceramah yang terkenal di Amerika). Nakkan bukunya? Cari sendirilah! (kalau saya telah menjumpai e-booknya saya boleh kongsikan nanti insyaAllah. Jangan marah ek!)

Versi Indon
Mari Kenali Keperibadian Diri!

Sebelum meneruskan pembacaan, pembaca sangat-sangatlah diminta agar jedakan pembacaan dahulu (tak faham jeda? Kalau kata 'pause' dalam bahasa Inggeris faham kan?) dan terus pergi ke link berikut untuk menguji keperibadian anda dahulu, biar anda kenal betul dahulu apa bentuk istilah keperibadian anda di antara keempat-empat keperibadian tersebut (sanguine, melancholy, choleric atau phlegmatic) dan selepas ini tiada masalah untuk anda meneruskan pembacaan dengan lebih 'uuuummph!' lagi. Link tersebut dan ia akan memaparkan 40 soalan. Soalan yang sama cuma pilihan jawapan yang berbeza. Jadi untuk setiap soalan pilihlah satu sahaja jawapan yang paling menggambarkan keperibadian anda. Submit jawapan anda setelah menjawab kesemua 40 soalan yang diberikan (soalan yang dibintangkan selepas soalan terakhir tidak perlu dijawab) dan apa yang tertera pada kemudiannya itulah keperibadian major anda!


*
*
*
*
*

...Hmm amacam? Syabas kerana anda telah mengetahui keperibadian major anda! Namun bagi yang melangkau daripada ingin mengetahui keperibadian diri itu, saya menganggap bahawa anda sudah cukup tahu ataupun pernah terbaca 4 bentuk keperibadian ini dan diharapkan agar dapat menyegarkan kembali iktibar yang kita boleh contohi dalam post kali ini. Kini mari kita selami setiap keperibadian istimewa yang diutarakan oleh sang penulis Florence ini dan selidiki kekuatan dan kelemahan pada setiap keperibadian berikut!


Sanguine Yang Popular


Sanguine Yang Popular
"Jom lakukannya dalam keadaan yang menyeronokkan!"


Jika anda seorang yang sanguine, maka ketahuilah bahawasannya anda seorang periuh yang mampu memecahkan suasana. Anda seorang yang lucu dan suka mencari perhatian. Sebagai seorang yang mengharukan, anda senang menikmati kegiatan sosial dan mudah mudah mencari rakan. Anda juga boleh jadi seorang yang imaginatif dan kreatif, dan tak terlepas juga selalu yang menjadi sangat bersemangat dalam menawarkan idea baru dalam tugasan. Orang lain sentiasa merujuk anda sebagai seorang yang periang, murah hati dan sentiasa mudah menerima keadaan dengan tangan terbuka.

Anda sentiasa ekstrovert, iaitu mudah menzahirkan emosi anda. Namun jika dilihat dari sisi kelemahan anda sentiasa cepat lupa dan mudah hilang fokus. Anda berkemungkinan sentiasa dalam pergelutan dengan tindakan yang sepatutnya dilaksanakan, dan ini membuatkan anda cepat gelabah dan selalu ada banyak hal yang terketinggalan. Ada masanya ketika anda tetiba terterokai sesuatu yang baru, anda akan mudah kekelaman minat apabila hal tersebut semakin membosankan dan tidak menarik buat anda.


Melancholy Yang Sempurna


Melancholy Yang Sempurna
"Jika itu boleh dilakukan, maka mesti dilakukan dengan betul!"


*Inilah keperibadian major diri saya (jika kenal siapa saya...)

Keperibadian penuh introspektif dan cerminan diri, itulah Melancholy jika ia memang cerminan peribadi anda. Menepati masa menjadi elemen yang sangat penting dan berharga buat seorang Melancholy seperti anda. Sebagai seorang yang perfeksionis di rumah mahupun dalam tugas, anda merupakan seorang yang sentiasa mempunyai keteraturan dan kekemasan sama dari segi penampilan, pemakaian, alatan serta barangan, penjadualan mahupun aturcara dalam pengurusan tugasan. Sebagai seorang yang serius, anda juga sentiasa mempunyai pemikiran yang penuh mendalam untuk sebarang bentuk topik yang lebih anda cenderungkan. Kreatif dan inovatif dengan cara yang tersendiri, ini membuatkan anda menjadi seorang yang sangat dipercayai dan diharapkan dalam pelaksanaan tugas-tugas yang analitis, artistik, muzikal mahupun menekankan falsafah ataupun keagamaan.

Namun dengan asbab sebegitulah anda sebagai seorang Melancholy sentiasa berhati-hati dan hanya menginginkan teman yang ideal buat anda. Ketika berada di tengah-tengah masyarakat, anda sentiasa mendapati diri anda tidak boleh dipercayai dan mudah kecewa. Dengan perasaan sebeginilah orang lain akan mengasingkan diri daripada anda, dan ini ditakuti akan mengukuhkan nilai-nilai negatif melankolik dalam hidup anda agar diri anda terus dihindari dan lenyap daripada perhatian orang ramai. Dalam menjalin hubungan, anda mungkin seorang yang lambat memulakan, terlalu berhati-hati, sangat ragu-ragu dan pesimistik. Namun setelah ikatan mula terbina, mulai saat itulah sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku kerana anda menjadi seorang yang sangat setia, mudah memahami dan sentiasa sanggup mencurahkan pengorbanan.


Choleric Yang Kuat


Choleric Yang Kuat
"Lakukannya ikut caraku!"


Amboi kejam sungguh mutiara katanya... tapi begitulah prinsipnya jika anda seorang Choleric. Anda seorang yang pemimpin yang mudah termotivasi dan dinamik di mana anda tahu meletakkan perspektif dalam sasaran anda dan terus dengan rancak berusaha mengejarnya sehinggalah sasaran tersebut tercapai. Sebagai seorang individu yang berkeinginan kuat, anda tahu dan pandai membuat keputusan dengan cepat dan tegas, serta seorang yang juga sentiasa bersedia dan mudah membuat pemecahan dalam menghadapi konsep dan strategi yang sukar. Dengan kemampuan untuk melihat seluruh gambaran dalam visualkan perspektif, anda mudah menangkap dan mempelajari sesuatu, serta suka memikirkan dan mengambil tindakan secepat mungkin.

Sebagai seorang yang sentiasa berfikir dengan logik dan pragmatik, anda perlu sedar juga bahawa anda terkadang dilihat sebagai seorang yang suka 'menggulingkan' serta memanipulasi orang lain setelah menetapkan pelaksanaan dalam perancangan. Terkadang juga anda selalu tidak bersedia mencurahkan emosi dalaman anda melainkan hanya tahu marah. Choleric selalu juga dilihat sebagai seorang yang degil, pendominasi dan bersifat diktator. Anda selalu memerlukan ketaatan daripada rakan anda, dan anda menjadi semakin unggul apabila telah berjaya dalam kawalan anda.


Phlegmatic Yang Damai

Phlegmatic Yang Damai
"Pasti ada cara yang mudah!"

Senang nak kata inilah prinsip keperibadian seorang Phlegmatic yang damai. Anda pastinya memiliki sikap yang stabil dan penuh santai. Anda seorang yang mudah dipercayai, peramah dan mampu mengawal emosi. Anda jenis yang lebih selesa berada dalam rakan-rakan kelompok anda mahupun meluangkan masa berehat penuh damai dan kesepian di rumah. Atas kerendahan hati anda, jarang sekali anda akan terlihat menonjolkan diri, menghuru-harakan keadaan mahupun mengagungkan diri. Anda merasa lebih baik dan cenderung untuk menerima tuduhan atau dipersalahkan (walaupun tiada sebab yang jelas) daripada bangkit menentang dan melawan.

Dalam tugasan, semestinya anda yang Phlegmatic bukannya berkehendakkan kuasa, jawatan mahupun populariti, cuma sekadar cenderung untuk bekerja dengan penuh sabar, konsisten dan teratur. Sebagai seorang yang boleh diharapkan, sabar dan penuh keteraturan, anda mampu bekerja sendirian mahupun bersama dengan sesukar mana pun keperibadian orang tersebut. Cuma yang kurangnya di sisi anda adalah merupakan seorang yang sukar hendak membuat keputusan yang jelas dan hanya tahu bergantung pada orang lain agar memutuskan untuknya. Anda mungkin mampu bekerja dengan konsisten, namun selalunya Phlegmatic merupakan jenis yang dilihat sukar untuk berfikiran lebih kreatif dan inovatif dalam melontarkan idea dalam pembaikan tugasan. Anda cuma berkemungkinan untuk cenderung bekerja sebagai pengikut sahaja dalam suatu organisasi, namun anda sebenarnya mampu menjadi pemimpin yang berkeperibadian unggul.

*
*
*
*
*

Hey, tunggu dulu! Dah baca kesemua bentuk keperibadian atas atau hanya baca keperibadian diri sendiri sahaja lalu langkau terus ke sini? Yang belum baca semuanya tolong habiskan dulu! (Kalau rasa sudah pernah baca dan faham maka tiada sebab untuk tidak teruskan membaca kerana apa yang diutarakan selepas ini akan berkisarkan introspeksi diri kita kembali lantaran keperibadian-keperibadian yang telah kita fahami...)


Berbeza Prinsip Keperibadian, Samakan Prinsip Hidup Kita

Setelah berapa ribu abjad perjalanan yang telah anda lewati, kini tiba masanya untuk kita membuat evaluasi dalam menyikapi keperibadian ini. Mari kita teliti kembali keperibadian diri yang kita dapat dan bandingkan dengan sifat-sifat yang kita ada sekarang. Ada yang padan dan terkena pada diri anda? Itu biasa, sebab kita semua pasti mudah tersentuh dengan perkara-perkara yang amat berkait rapat dengan kita. Bukanlah setiap daripada diri kita hanya spesifik memiliki satu prinsip keperibadian yang diterangkan tadi, kerana kita sebenarnya memiliki kesemuanya, cuma instensiti bagi setiap keperibadian ini yang menentukan kemajoritiannya. Contohnya kita mungkin bersifat kepimpinan, namun dalam masa yang sama juga kita mampu menghiburkan suasana, lalu mendapat keperibadian Choleric. Boleh jadi Sanguine pada tangga ke-2. Mungkin juga kita juga seorang yang analitikal dan tidak suka menyinggung perasaan orang lain, boleh jadi ada Melancholy dan Phlegmatic di tangga ke-3 dan terakhir.

Cuba lihat orang terdekat kita dan perhatikan keperibadian mereka. Saya pasti kita telah pandai mengecam keperibadian major mereka semestinya. Perhatikan pula keluarga kita, adik-beradik kita, kawan-kawan kita dan seterusnya masyarakat di luar sana. Apa yang kita lihat? Kotak fikiran dan emosi kita sudah mula terbuka luas? Alhamdulillah dan syabas pada diri kita yang telah mampu melihat dan memahami keadaan-keadaan yang mula menjadi kepekaan kita untuk memahami orang lain.

Kita sebagai pemegang major Sanguine mungkin sebelum ini tidak pernah terfikir untuk menghargai jasa seorang Melancholy yang sentiasa memerhatikan dan menyayanginya dari belakang, atau seorang Melancholy yang sentiasa memandang buruk kedinamikan Choleric yang mungkin selama ini sentiasa menyakiti hatinya tanpa dia sedari, atau seorang Choleric yang sentiasa memandang rendah dengan kepekaan seorang Phlegmatic yang sentiasa mengecewakan pengarahannya. Biasalah, ketidakpadanan memang wajar berlaku kerana memang sangat mustahil untuk kita memiliki peribadi yang seimbang dan memuaskan semua hati orang. Namun cubalah sentiasa detikkan hati kita agar sentiasa meyakinkan diri kita untuk berhadapan dengan mereka dengan cara yang sesuai dengan keperibadian mereka serta memperbaiki kelemahan mereka.

Misalnya Sanguine yang popular namun sentiasa tidak teratur memerlukan bimbangan keperibadian Melancholy yang amat pekakan keteraturan.

Melancholy yang sempurna namun sentiasa mudah tertekan dan murung memerlukan bimbingan keperibadian Sanguine yang mampu menghiburkan dan menggembirakannya.

Choleric yang kuat namun sentiasa marah dan merosakkan keadaan juga memerlukan bimbingan keperibadian Phlegmatic yang mampu menenangkan dan mendamaikannya.

Sama juga Phlegmatic yang damai namun sentiasa statik juga memerlukan bimbingan keperibadian Choleric yang mampu memimpin dan mengarahnya untuk bergerak.

Walau apa jua keperibadian yang kita miliki, pentingnya untuk kita sedari bahawasannya dalam bentuk inilah salah satu ujian yang Allah timpakan ke atas kita agar kita dapat mengasah kebolehan dan kemampuan kita dalam bersosial dan berinteraksi sesama masyarakat agar dapat menaburkan nilai-nilai baik dan berharga sesama kita.

Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal....

Namun jangan ketinggalan pada sambungan ayat ini kerana sambungan seterusnyalah yang membuktikan persamaan yang mempersatukan hati sesama kita:

...Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Mahateliti.
[QS Al-Hujurat, 49:13]

Dengan keperibadian hidup yang berbeza, pastikan inilah prinsip hidup kita bersama - menggapai keredhaan Allah.

^__^

*Nantikan post susulannya: Memahami Keperibadian dalam Persepsi Da'i

6 comments :

  1. ni la yang kitorg dgr dr dr. harlina hari tu. thanks anyway. dlm penulisan nmpk lg jelas dan nyata.

    ReplyDelete
  2. Menariknye! hadir dlm bentuk ilustrasi! tahniah2

    ReplyDelete
  3. syukran jazilan... moga bmanfaat utk smua ^__^

    ReplyDelete
  4. kitorang pernah buat ujian ni masa belajar psikologi dulu. :)

    thanks share :)

    ReplyDelete
  5. terima kasih..buat diri saya yg sangat suka melihat dan membaca tentang peribadi an watak2.so saya lebih bersemangat bila tahu sifat saya-Phlegmatic Yang Damai.

    ReplyDelete