Thursday 25 December 2014

Disiplin Tarbawi Untuk Kerja Dakwah Umum (dipetik dari Tarbiatuna)

DISCLAIMER: Post yang berlabelkan 'TARBIAH' tidak sesuai untuk dibaca oleh mereka yang alergik dengan istilah 'usrah', 'halaqah', 'ana', 'anta', 'antum', 'akhi', 'ukhti' dan banyak lagi yang anda rasa amat berkaitan dengannya. Sekiranya anda merupakan salah seorang daripadanya, sila elakkan diri daripada membaca post ini kerana admin tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang risiko yang anda akan alami selepas membacanya nanti. Admin sarankan agar cari post berlabel 'DAKWAH' untuk kandungan yang lebih sesuai dan ringan untuk anda. Sila baca dengan risiko anda sendiri. Harap maklum.

Gambar hiasan
Bismillah.

Secara peribadinya, ana belek kembali risalah yang selama ini saya biarkan dalam 3 minggu sebegitu semenjak ia diedarkan sewaktu perhimpunan tahunan ikhwah-akhawat yang lepas. Allahu akbar, ana terasa seolah ditarbiah kembali dalam keadaan kosong setelah begitu lama ana membiarkan diri ana terbuai dalam dunia kolej ana dengan isu-isu semasa yang semakin tepu otak ana difikirkannya.

Ana yakin ikhwah-akhawat sekalian ada di antara kita yang masih berpandangan bahawa risalah yang dikeluarkan oleh badan jemaah khusus buat antum sekalian seakan hanya artikel omong kosong semata, walhal mereka yang di atas sudah cuba pelbagai cara untuk menyatupadukan fikrah dakwah kita dengan sejelasnya agar amanat yang disampaikan dapat dijadikan pelaksanaan dalam medan masing-masing dan bukan hanya terkapai-kapai dalam tulisan bertaip semata.

Ana harap ikhwah-akhawat sekalian sudi meluangkan masa membaca salah satu artikel dalam risalah tersebut terutama bagi mereka yang masih kurang berusaha merajinkan diri membaca buku-buku dakwah. Sekurang-kurangnya artikel ini mampu menjelaskan dan meluruskan penghadapan matlamat antum dalam perjuangan kerja dakwah umum ini insyaAllah.

Sesungguhnya antara objektif dakwah kepada Allah ialah menyebarkan kebaikan kepada manusia, amar makruf nahi mungkar, menggalakkan manusia melakukan kebaikan dan mengingatkan mereka agar tidak terjebak ke lembah kehinaan dan kemungkaran. Di atas jalan dakwah ini, kita menghadapi kedua-dua jenis ini serentak dalam kerja dakwah; salah satunya berkaitan dengan pembinaan dan pembentukan, sebahagian lagi berkaitan dengan propaganda dan pengenalan. Usaha yang dikorbankan pada kedua-dua perkara ini (takrif - takwin) tidak terpisah, bahkan ia saling menyempurnakan. 
Membiming Masyarakat 
Imam Banna membentangkan konsep ini ketika memperkatakan maratib amal yang dituntut daripada seorang al-akh yang benar, maka dia sebutkan setelah menyentuh dua martabat mengislah diri dan mentakwin rumahtangga: "Dan menunjuk ajar masyarakat dengan menyebarkan seruan kebaikan padanya, memerangi dosa dan kemungkaran, menggalakkan berakhlak baik, menyuruh yang makruf, menyegerakan melakukan kebaikan, mempengaruhi pandangan umum ke arah pemikiran Islam serta sentiasa mewarnakan lahiriah kehidupan umum dengan warna Islam..." (Risalah Ta'alim) 
Tidak syak lagi bahawa dakwah pada marhalah terbuka dalam masyarakat bertolak dari hakikat bahawa ia adalah dakwah tarbawiyah yang praktikal; anggotanya bergerak membawa kebaikan dalam masyarakat dengan akhlak yang dimiliki mereka hasil tarbiah yang dilalui berdasarkan manhaj Islam. Seorang al-akh itu tidak boleh terpisah dari bekalan dan gerakannya, tidak terpisah dari tarbiah dan dakwah serta sumbangannya. Justeru kadar kekuatan dakwah dalam tarbiah dan takwin anggotanya akan menentukan kerja dan kesannya dalam masyarakat yang digerakkannya. 
Antara isu penting ketika era terbuka dalam masyarakat ialah isu 'propaganda dan iklan berkaitan kerja dakwah umum serta pembahagian tugasan tarbawi bagi program umum'. Yang dimaksudkan ialah kerja-kerja yang sesuai dengan situasi umum yang dilalui dakwah pada medan islah dan khidmat masyarakat untuk dibangunkan bersama. Contohnya seperti khidmat masyarakat, kebajikan anak yatim, pertolongan cemas, merawat orang sakit, bantu orang miskin, bantu orang yang terkena bencana, pasukan yang menyampaikan dakwah, bantu Muslimin yang lemah di pelbagai tempat, pasukan yang berjuang untuk politik dan tuntutan hak, mengajar orang dewasa dan menghapuskan buta huruf, aktiviti sempena hari kebesaran Islam seperti sembelihan korban, zakat fitrah, masuk ke sekolah-sekolah dan bantuan berkempen dalam pilihanraya di peringkat persatuan, pelajar atau negeri dan parlimen dan lain-lain. 
Dalam hal ini kita tidak mahu menyentuh faedah yang akan diperoleh dari kerja dalam masyarakat kerana ia amat banyak. Tetapi seperti kerja dalam masyarakat punya faedah, maka di masa yang sama di sana ada disiplin yang perlu dipelihara. 
Antara Disiplin Kerja Dakwah Umum & Propaganda 
Disiplin tarbawi yang wajib kita ambil ketika mengadakan program umum adalah banyak, sesuai dengan medan dan peluang yang terdapat dalam masyarakat. Disiplin bagaimana untuk kita iklankan program dan aktiviti, bagaimana kita tonjolkannya kepada masyarakat? Semua itu berkaitan dengan faktor pendorong kerja-kerja ini serta objektif untuk mengiklankannya kepada orang ramai dan kaitan aktiviti kita serta kerja orang selain kita di tempat yang sama: 
1. Pentingnya menghadirkan niat yang ikhlas kerana Allah, memperelokkan tujuan kerja di mana ianya semata-mata kerana Allah sahaja, mengharapkan pengampunan dan keredhaan-Nya. 
2. Bahawa hakikat gerak kerja umum dengan dakwah di kalangan manusia merupakan ibadat kepada Allah. Kita beribadat kepada Allah dalam setiap aspek gerak kerja, apapun medan tersebut; ekonomi, sosial, politik, dakwah, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Untuk itu tidak wajar kita hanya mengehadkan makna beribadat hanya dalam gerak kerja dakwah umum bersama masyarakat sahaja. 
3. Berjaga-jaga agar semua amalan yang kita zahirkan kepada orang ramai jauh dari sifat riyak atau sum'ah hingga merosakkan amal dan usaha menjadi sia-sia. 
4. Orang yang terlibat dengan kerja umum di kalangan kita mesti terdiri dari kalangan yang mempunyai reputasi yang baik, takwanya tampak teristimewa, terhias dengan akhlak mereka, mampu mempengaruhi dalam masyarakat dan tidak terpengaruh dengan penyakit dan tingkah lakunya, mampu pula untuk menzahirkan model contoh di hadapan orang ramai. 
5. Mesti diingat bahawa kerja dakwah umum tidak wajar menyebabkan individu yang terlibat meninggalkan kewajipan tarbiah terhadap diri mereka dari segala sudut; keimanan, ibadat, akhlak, fikrah dan sebagainya. Ini adalah bekalan wajib bagi semua orang yang bekerja dengan dakwah dan ia adalah janaan (hasil) perolehan dari semua aktiviti dan program tarbawi kita sama ada secara individu atau jama'i. Kerana tarbiah adalah bekalan dan gerakan, menerima dan menyumbang dan tidak mungkin sumbangan akan berterusan tanpa bekalan tarbawi yang berterusan. 
6. Keprihatinan di samping kita bekerja menyeru orang ramai kita mesti menjaga adab dan akhlak yang sempurna. Imam Banna dalam bab ni menyatakan: "Berawaslah kalian agar sentiasa menjadi orang yang benar dan tidak melampaui hakikat. Hendaklah propaganda kalian sentiasa berada dalam batasan adab yang sempurna dan akhlak yang baik. Berilah perhatian sebaiknya untuk mengumpulkan hati dan menjinakkan jiwa. Hendaklah kalian rasai apabila dakwah ini menang bahawa ia adalah kurniaan Allah jua." 
7. Jangan sampai pelaksanaan gerak kerja dakwah, kemasyarakatan dan propaganda ini membawa kepada pergaduhan atau memudaratkan persahabatan lalu menghalang perjalanan serta melambatkan tujuan tercapai. 
8. Keprihatinan yang bersungguh-sungguh mesti diberi terhadap mereka yang terlibat dalam gerak kerja umum ini serta penjagaan rapi dari sudut tarbawi dan imani. Mereka amat berhajat kepada pemerhatian tarbawi secara berterusan kerana tabiat kerja mereka amat mencabar; berada di majlis besar, menaiki pentas hebat, sentiasa diekori oleh jurukamera atau wartawan, cerita mereka terpampang di dada akhbar dan televisyen. Tujuannya agar terpelihara mereka dari pelbagai fitnah dan bimbang jiwa berubah bila hilang dari pemantauan, justeru hati nanti terdedah dengan dunia yang akhirnya memesongkan mereka dari matlamat. 
9. Tajarrud sepenuhnya dalam gerak kerja umum dan propaganda dakwah ini. Jangan jadi program dan propaganda kita kerana membalas propaganda pihak yang lain atau bertujuan memperlekeh kerja orang lain (pertubuhan atau individu), atau bertujuan menzahirkan bahawa kita kuat dan lebih baik daripada orang lain. Akan tetapi tujuan kita sebenarnya kita hendaklah sentiasa bersama penyebaran dakwah, penyebaran kebaikan kepada manusia, khidmat dan pembaikan dan selepas itu semua, tujuan kita terbesar ialah ubudiah kita kepada Allah. 
10. Hendaklah kita beriltizam dengan hikmah dalam dakwah dan propaganda kita, serta memperelokkan jalan dan muamalah kita kerana kita diperintahkan oleh Allah berbuat demikian. Allah berfirman: "Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhan-mu maha mengetahui siapa yang telah sesat dari jalanNya dan Dia maha mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." Dan firmannya lagi: "Dan berkatalah kepada manusia secara baik." 
Di antara makna hikmah juga ialah kita memperelokkan pembentangan dakwah kita ini kepada orang ramai, menekuni seni-seni perhubungan dengan mereka. Antaranya kita menjadi qudwah terhadap apa yang kita seru. Jangan pula apa yang kita seru itu tidak terlihat secara praktikal pada kita. Antaranya lagi kita mendahului mereka dengan apa yang kita seru. "Bila kamu menjadi imam saya, maka hendaklah kamu berada di depan saya." 
Sebaiknya kita merasai bahawa kita adalah pembawa kebaikan dan penyampai hidayah untuk umat kita dan bagi semua manusia. Tidak merasai tinggi diri, tidak melakukan kekerasan dan tidak rasa diri kita lebih. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah datang seorang Rasul dari kalangan kamu, amat mengambil berat tentang apa yang dihadapi oleh kamu, amat prihatin ke atas kamu sebagai mukmin lagi berlemah lembut dan kasihan belas." Bersikap lemah lembut dan berlapang dada bersama mereka. Benarlah kata-kata: "Siapa yang sukarela menyeru manusia dan bekerja untuk bersama masyarakat, mesti terdiri daripada orang yang berlapang dadanya dan sanggup menanggung bebanan." 
Hendaklah kita sentiasa bermuhasabah diri apabila selesai sahaja program dan gerak kerja umum dengan soalan, apakah faedah yang diperolehi oleh dakwah kita selepas gerak kerja yang kita lakukan? Apakah kesan ke atas kita sebagai individu yang terlibat dengan gerak kerja ini? Adakah ia telah mendekatkan kita kepada Tuhan kita? Adakah ia bermakna kita telah menyumbang faedah kepada masyarakat kita? Apa pula kesan gerak kerja ini kepada pembentukan kita dan tarbiah kita? Adakah ia telah menambahkan kemahiran atau pengalaman yang boleh kita gunakan dalam gerak kerja mendatang? Dan soalan-soalan lain yang boleh difikirkan.
ditulis oleh SMH, kolumnis jemputan, Tarbiatuna. Siri: 1435H/04.

No comments :

Post a Comment