Tuesday 11 October 2011

Disirami Titisan Kerinduan (Bahagian I)



Menaburi Benih Pembuka

Assalamualaikum w.b.t... 

Segala puji ke hadrat Rabb Yang Maha Mengasihi lagi Maha Menyayangi hamba-hambaNya yang masih terkapai-kapai di dunia yang fana ini kerana mengizinkan saya menaburkan benih untuk membuka blog ini semula yang telah lama terpinggir di persimpangan sesawang atas sebab-sebab tertentu, semoga dengan entri terbaru ini kepompong perhatian para pembaca masih mampu diketuk semula. Selawat dan salam juga kepada utusan Allah junjungan kita semua Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat dan juga keluarga baginda yang telah lama memperjuangkan kalimat "Laa ilaaha illallah" sehinggalah ke akhirnya di mana kita masih mampu merasai nikmat Islam dan iman yang telah menyelimuti kita sehingga ke hari ini.


Cuba kita mengambil sedikit masa untuk memperhatikan kembali metodologi perjuangan baginda dalam menegakkan Islam, dan kita sendiri pasti perasan bahawa sunnah terbesar yang baginda sendiri lakukan, di mana sunnah tersebut teramatlah penting dan diperlukan dalam keadaan masa kini namun ramai yang masih lepas tangan dan mengabaikannya, itulah berdakwah. Mungkin ada di antara pembaca yang terasa fobia atau pelik mendengar istilah 'berdakwah' ini, dan Rasulullah s.a.w. tahu akan tiba suatu masa nanti di mana Islam akan dianggap sebagai sesuatu yang pelik dalam kalangan masyarakat pada akhir zaman ini,

“Sesungguhnya Islam dimulai dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka thuuba (beruntunglah) orang-orang yang asing.” [HR Muslim]

Orang-orang mukmin seharusnya sinonim dengan istilah-istilah seperti berdakwah ini, dan sudah pastinya kita juga tidak mahu diri kita tergolong dalam pihak yang berasa pelik dan terasing dengan kerja-kerja dakwah ini, kerana keuntungan yang dijanjikan tidak akan berpihak kepada golongan yang sebegitu. Oleh itu pastikan diri kita lebih cenderung untuk menjadi golongan yang dianggap 'pelik dan asing' itu, kerana golongan 'pelik dan asing' itulah golongan yang dijanjikan oleh Allah sebagai orang yang berjaya. 

"Sungguh beruntung orang-orang yang beriman," [QS Al-Mu'minun (23:1)]

Mudah-mudahan kita semua terkelas dalam golongan yang mukmin yang dijanjikan kejayaan tersebut.

*****

"Apa yang kami sampaikan kepada saudara saudari semua ini bukannya hanya nak memberitahu, tetapi bagi mencetus mahu untuk menggapai usaha yang mampu..."

Frasa tersebut sepatutnya diutarakan oleh seorang sahabat untuk disampaikan kepada pihak-pihak tertentu yang akan saya ceritakan selepas ini. Namun terkadang kita sendiri boleh jadi terlupa akan sesuatu apabila kita terlalu fokus akan yang lain, tetapi bukan itu yang nak diperdebatkan sebenarnya. Apa yang penting adalah perlu diingati bahawa... (teruskan je membaca, kelak akan fahamlah nanti ^_^)


Disirami Titisan Kerinduan (Bahagian I)

12 September 2011, dapat juga kami balik akhirnya ke tanah daerah tercinta! Tawau, suatu daerah yang tidaklah begitu terkenal yang terletak di Sabah, itulah daerah yang kumaksudkan. Terkadang tercetus rasa rindu juga apabila kita menemui sesuatu yang telah lama kita tidak jejaki.

"Okeylah, Azman. Ana nak chow dulu. Bila-bila nanti kita akan 'serang' MRSM, he he..." Setepuk tangan terhinggap di bahu kananku, menandakan selamat jalan daripada seorang sahabat dengan nama manjanya, Hazmi. Sambil mengusung bagasinya, Hazmi berjalan penuh semangat keluar melimpasi pintu ketibaan bertemu dengan keluarganya yang tersayang. Tidak lupa juga dengan kerinduan mesraku menemui ayahku yang dengan agak selambanya turut menunggu di luar bangunan terminal tersebut, apatah lagi apabila bertemu dengan keluargaku yang tersayang di rumah yang bakal kutiba nanti. Namun bukanlah kerinduan sebegitu menjadi keutamaan aku dan sahabat-sahabat lain yang berada di Tawau ini,  kerana kerinduan akan cinta dan redha Ilahi itulah yang sedang kami buru kini. Kali ini dengan ruang dan peluang yang telah Allah bukakan untuk kami selama dua minggu di sini sebelum kembali memulakan semester yang baru di UTP (Universiti Teknologi Petronas), akan kami pastikan terisi dengan titisan-titisan nilai yang bermakna dalam mengubati kerinduan akan redhaNya.

Seminggu telah pun berlalu. Hatiku kini semakin haus merindukan sudut-sudut khabar para sahabat yang telah berhari tidak kuhubungi. Aku semakin risau atas diriku yang telah tercenderung untuk disibukkan dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah dan sia-sia. Renunganku terhadap kerinduan itu tiba-tiba sahaja terganggu apabila segumpal logam milikku terdering seolah-olah memanggilku untuk membuka dan membaca SMS yang baru sahaja diterima itu. Lincah tanganku menggapainya dan cekap jemariku menekan-menekan butang yang sepatutnya dalam membuka pesanan tersebut.

"Assalamualaikum... Masi urus projek ka? Esok bz? Masuk mrsm jom?"

Pesanan daripada Hazmi, seakan-akan terangsang hati dan semangatku seketika aku membacanya. Satu ajakan kecil sahaja olehnya, hanya sekadar melawat sekolah lama kami yang telah lama kami rindui, di mana bagiku, merupakan satu ajakan paradigma yang mampu mencetus mahuku untuk mengubati kerinduan yang selama ini diidamkan oleh orang-orang mukmin.

"Ow ok jgak... lgpun prjek ana da x bnyk sgt ni, so x brapa bz la..."

*****

Sementara kuhentikan Prado hijau milik ayahku yang sedang kukendalikan sekarang berdekatan surau MRSM, beberapa ketika kemudian terhinggap suatu ketukan pada pintu belakang Prado tersebut, kemudian pintu tersebut terbuka dengan sebuah lembaga menyusup masuk ke dalam ruangan belakang. Kuteguri lembaga tersebut,

"Assalamualaikum, he he..."

"Waalaikumsalam... woah, salam dulu! Rindunya dah lama tak berjumpa!"

Ujar junior kami, Syahmi lalu menyambar tanganku dan bersalamanlah kami, begitu juga dengan tangan Hazmi yang duduk bersebelahan denganku.

"So waktu-waktu antara maghrib dan isyak ni memang free slot la ni?"

"Yup. hari Khamis memang waktu yang free untuk pelajar menguruskan slot maghrib-isyak ni di surau. So siapa yang sampaikan pengisian ni bang?"

"Siapa lagi, mestilah bos kita, Azman di sebelah ni, he he..."

Bulanbintang menjawab sambil menepuk bahuku seolah-olah menyindirku, namun sindiran kasih itu dapat dirasakan semakin menyuntik keyakinanku untuk melepaskan tanggungjawab kami sebagai alumni MRSM untuk merenjiskan sebanyak-banyak titisan nasihat dan peringatan kepada para pejuang generasi muda yang masih terkapai-kapai dalam arena pelajaran di sini, lebih-lebih lagi bagi menyuntik keyakinan kepada mereka menjelang peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi terutamanya bagi yang menghadapi PMR dan SPM.

Sementara menunggu detik azan maghrib dalam ketika sahaja lagi, muncul lagi sebuah Exora putih yang kami tunggu-tunggui yang kami gelarkannya sebagai Bura'. Aura kegembiraan semakin menyerikan keadaan tersebut apabila kami duduk berkumpul di suatu meja di kafeteria yang terletak berdekatan dengan surau untuk beriftar bersama-sama dua orang sahabat yang baru keluar dari Bura' tadi, iaitu Malik dan Hanafi. Suatu kerinduan yang kurasakan di bawah sedarku hanya dengan melihat wajah-wajah sahabatku ini, apatah lagi apabila aku dikerumuni mereka seperti ini. Mungkin inilah nikmatnya apabila terikat di bawah suatu persahabatan atas landasan keimanan, seperti yang pernah dipesan oleh Rasulullah s.a.w.,

"Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." [HR Bukhari dan Muslim]

*****

Solat fardhu maghrib telah selesai kami tunaikan. Pandanganku terhadap situasi yang seterusnya mula bertukar rupa. Seperti biasa, kebisingan adik-adik yang selalu memenuhi tiap-tiap sudut ruangan dalam surau ini menjadi suatu cabaran yang dahulunya meremangi bulu roma kegementaranku kini menjadi sesuatu yang menyeronokkan buatku. Wajah-wajah lama yang selama ini kukenali yang sering mentertawakanku kini seakan-akan mendorong keinginanku untuk mentertawakan mereka kembali, he he... sebenarnya lebih kepada menyedarkan mereka kembali bahawa betapa pentingnya pengalaman sebagai guru terbaik dalam kehidupan. Bak kata tokoh penulis Barat,

"Experience is the best teacher." (Frances M. Whitcher)

"...Baiklah tanpa membuang masa lagi, saya akan serahkan mike ini kepada bekas presiden BADAR kita yang mungkin kita kenali, dan yang mungkin kita rindui, iaitu abang Azman, untuk memberikan sedikit tazkirah. Dipersilakan..."

Sebermulanya aku bangkit daripada dudukku tadi, terdetik ingatanku kembali mengingati pengajaran yang telah diturunkan oleh Allah dalam surah Al-Lail.

"...dan tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat padanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Mahatinggi. Dan nescaya dia akan mendapat kesenangan (yang sempurna)." [Q.S. Al-Lail (92:19-21)]

Mudah-mudahan niatku dalam menyampaikan tazkirah ini tidak tersimpang daripada haluan asal yang menginginkan keredhaan Allah. Mudah-mudahan Tips Study @ Al-Quran yang bakal kusampaikan ini mampu menyuntik hati-hati para pelajar MRSM ini untuk mentransformasikan diri mereka menjadi mujahid yang sanggup belajar hanya demi mendapatkan keredhaan Allah semata-mata.

Bersambung di bahagian II insyaAllah ^__^

1 comment :

  1. ini brulah "BADAR DULU,KINI DAN SELAMANYA I.A...." mksud ana watak2 dalm crita ni ya... HEHE... ana tggu sambungannya...

    ReplyDelete