Friday 3 June 2011

UNTUK DIRIKU DAN DIRIMU (Siri 1)

Assalamualaikum w.b.t.

Beberapa hari telah pun berlalu selepas post terakhir saya sebelum ini, dan kepada semua pembaca termasuk diri saya sendiri, Alhamdulillah kita masih diberikan peluang lagi dan lagi untuk hidup di dunia yang hanya merupakan pentas sementara untuk kita semua agar masih sempat untuk menyumbangkan sebanyak-banyak perkara kebaikan semaksimum yang boleh, iaitu memimpin diri kita dan orang lain untuk berhijrah ke arah kekuatan menegakkan kebenaran dalam hidup kita agar dapat mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat, insyaAllah...


Dan dengan itu, saya ingin menekankan di sini bahawa peringatan menjadi penawar yang amat penting untuk umat manusia kerana memang hakikatnya manusia merupakan makhluk yang mudah lupa. Ini sudah jelas diterangkan dalam surah yang selalu kita amalkan iaitu surah al-Asr'. Firman Allah s.w.t.:
(1) Demi masa, (2) Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, (3) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
[Surah Al-Asr (103:1-3)] 
Semakin masa berlalu, kita sebagai manusia perlu sentiasa membersihkan dan meng'upadate'kan hati kita dengan peringatan-peringatan mahupun nasihat yang baik agar tidak melupakan apa yang kita pertanggungjawabkan di dunia ini di sisi Allah s.w.t., kerana manusia secara hakikatnya akan lupa melainkan jika dirinya sentiasa diperingati sama ada oleh dirinya sendiri mahupun diri orang lain. Oleh itu, sentiasalah berdamping dengan orang yang selalu memperingati kita sama ada keluarga kita, sahabat kita mahupun para ilmuwan, guru atau alim ulama. Berdamping di sini bermaksud sentiasa menginginkan peringatan-peringatan mereka sama ada melalui lisan mahupun medium lain seperti melalui pesanan teks, media cetak dan sebagainya. Jangan meletakkan syaitan sebagai penasihat pilihan kita pula. Firman Allah s.w.t.:
"Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya, "Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu,"
[Surah Al-A'raf (7:21)]
Jika kita memperhatikan ayat sebelum hinggalah ayat selepasnya (7:20-22), kita boleh mendapat gambaran bahawa betapa mudahnya kita sebagai kaum Adam dan Hawa ini tertipu dengan nasihat-nasihat para syaitan yang sentiasa menjadi pendamping dan penasihat kita yang setia sehinggalah sekarang. Kalau bukan, masakan  ramai manusia sekarang sudah terjerumus kepada kefasikan dan keburukan.

Jadi, sebagai penawar kepada penyakit telinga hati kita yang selalu mendengar bisikan syaitan ini, peringatan dan nasihat itulah menjadi antara penawar yang mujarab untuk memulihkan hati kita. Jangan sekadar hanya mengharapkan nasihat orang sahaja untuk berubah, tetapi nasihatilah diri anda untuk mengubah diri sendiri dan jangan lupa juga untuk menasihati orang lain agar mereka juga melakukan perubahan. Jangan pula jadikan nasihat seperti permainan bola keranjang, sudah masuk gol tetapi keluar balik dari bawah jaring. Terimalah nasihat-nasihat baik yang diberikan dan cubalah mengambil iktibar daripadanya untuk berubah seperti menjaringkan gol dalam bola sepak, masuk gol dan terus ditangkap dengan jaring. (ini cuma perumpamaan sahaja, bukan nak bahaskan sukan mana yang lebih baik...) 

Berikut merupakan perkongsian-perkongsian yang pernah saya 'post'kan di akaun Facebook saya. Mudah-mudahan perkongsian-perkongsian ini menjadi sesuatu yang bermakna buat kita semua khususnya kepada sesiapa yang tidak mempunyai akaun Facebook dan yang belum pernah terbaca lagi. Wallahu a'lam...


PERKONGSIAN HARI INI: Cara menghalalkan matlamat, tapi bukan semua jenis cara dihalalkan oleh matlamat. Untuk mencapai sesuatu matlamat hendaklah dilaksanakan setiap tindakan dengan cara yang betul. Biar cara itu halal dan menabur lebih kebaikan daripada keburukan. Kegagalan dengan usaha yang ikhlas jauh lebih mulia daripada kejayaan dengan tindakan yang kotor...

PERKONGSIAN HARI INI: Biarlah kita menjadi orang yang rugi kewangan dunia, janganlah kita menjadi orang yang rugi menanggung dosa. Kertas-kertas yang bernilai di mata manusia hanya menjadi sampah yang tidak menjanjikan kebahagiaan di akhirat kelak, namun pahala itulah yang sentiasa bernilai di mata Yang Maha Esa dan itulah yang perlu kita kumpulkan untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak...

PERKONGSIAN HARI INI: Janganlah anda bersedih atas hinaan, ejekan mahupun cercaan pedas yang anda terima hanya kerana kebaikan dan amal kebajikan yang anda lakukan. Di sebalik tanah yang kotor dan berdebu pasti ada emasnya, di sebalik kemurungan mendungnya awan pasti ada kenikmatan hujannya, di sebalik jalan yang berliku-liku pasti ada destinasinya, dan di sebalik semua kesulitan pasti ada kesenangannya.

PERKONGSIAN HARI INI: Walau sekuat mana kekuatan fizikal kita, walau berapa banyak pinggan makanan telah kita licinkan, walau sehebat mana bakat fizikal yang kita pendamkan,... kita takkan dapat menjadi kuat untuk mengangkat selimut agar bangun daripada tidur dan menunaikan solat Subuh mahupun jenis amal ibadat yang lebih awal daripada itu kerana apa yang melemahkan kita adalah... lemahnya jiwa.

PERKONGSIAN HARI INI: Sentiasalah tetapkan pendirian kita bahawa hari ini ialah hari terakhir kita hidup di dunia ini, supaya diri kita akan terdorong untuk melakukan perkara bermanfaat semaksima yang boleh dan meninggalkan perkara buruk sesifar yang boleh. Tanggapan sebegitulah yang menjadikan kita insan yang 'hidup dan berjiwa hidup', bukan menjadi insan yang 'hidup tapi berjiwa mati'.

PERKONGSIAN HARI INI: Memperkuatkan fizikal tidak akan memperkuatkan hati sekali, namun memperkuatkan hati dapat mendorong fizikal, mental, rohani dan emosi untuk diperkuatkan. Maka perkuatkanlah hati kita pada jalan kebaikan untuk mendorong fizikal, mental, rohani dan emosi kita pada jalan kebaikan dan diredhai-Nya.

PERKONGSIAN HARI INI: Terlalu senang atau terlalu bahagia akan membuatkan kita mudah terlena, terlalu sedih atau kecewa juga akan membuatkan kita mudah terbabas ke lorong suram. Oleh itu warnailah dunia dengan bungaan senyuman, tenangkan fikiran dengan ubat ketabahan, wangikanlah suasana dengan aroma kesabaran, dan indahkanlah hati anda dengan warna keimanan.

PERKONGSIAN HARI INI: Hati-hati dengan hati kita kerana ia ibarat kain putih yang mudah dikotori dengan warna kebatilan, namun sukar untuk dibersihkan dengan sabun kebaikan.

PERKONGSIAN HARI INI: Dinding iman semakin retak akibat usaha penggalian para syaitan, maka sentiasalah membina sekebal-kebal dinding iman yang tidak lut oleh syaitan dengan mengamalkan amalan sunat semaksima yang boleh. Tuntutan amalan wajib memang tidak boleh dinafikan, namun beristiqamah dalam amalan sunat itulah yang menggambarkan peneguhan iman kita.

PERKONGSIAN MALAM INI: Nasihat dan teguran yang baik ibarat air yang mebekalkan keperluan yang cukup untuk mengekalkan kesuburan pokok hati. Pokok hati itu sentiasa memerlukannya maka tambahkanlah air nasihat itu sentiap masa. Oleh itu, janganlah meremehkan atau mengendahkan setiap nasihat mahupun teguran kecil yang diberi, kerana nasihat dan teguran itulah rezeki yang baik untuk mengislahkan diri kita.

PERKONGSIAN HARI INI: Zaman remajalah merupakan zaman inisiatif kita melakukan perubahan di jalanNya, bukannya zaman kemudiannya di mana kita sudah terlalu sibuk atau tidak berdaya lagi untuk melakukan perubahan.

PERKONGSIAN HARI INI: Remaja merupakan 'warga emas' yang sebenar, bukannya orang tua. Manfaatkanlah peluang ini untuk menggunakan segala nilai keemasan yang terdapat dalam diri kita sebaiknya demi pengislahan diri, agama, keluarga, masyarakat dan negara.

PERKONGSIAN HARI INI: Tangisan tidak semestinya gambaran kelemahan, lukisan penderitaan atau coretan kesedihan. Namun tangisan boleh jadi lambang kebahagiaan, bukti kecintaan dan dalil keikhlasan..Menangislah..

PERKONGSIAN MALAM INI: Menyambung pelajaran mahupun meneruskan kerjaya kita biarlah untuk mengejar kekayaan jiwa dengan ilmu dan menggapai keredhaan-Nya agar dapat menyembuhkan mata hati kita, bukan untuk mengejar kekayaan dunia dan kemewahan hidup semata-mata yang boleh mengaburi mata hati kita.

PERKONGSIAN HARI INI: Barang siapa bertambah ilmunya namun tiada bertambah amalnya, tiada bertambah baginya dengan Allah kecuali bertambah jauh.

PERKONGSIAN HARI INI: Walau apa jua perkara yang kita hadapi atau lakukan, biarlah dipandang hina di mata manusia, jangan dipandang hina di mata Allah... biarlah serosak-rosak mana tubuh fzikal kita, jangan pernah merosakkan hati kita... Allahu Akbar ^_^.

PERKONGSIAN HARI INI: Belum terjadi kiamat sehingga tidak ada lagi di muka bumi orang yg menyebut : Allah Allah. (..sehingga tiada lagi orang beriman wujud di muka bumi). Mudah-mudahan kita semua masih dalam kalangan orang2 yg beriman.... amiin

PERKONGSIAN HARI INI: Knowledge is power, therefore we have to use it wisely to fight against the falsehoods and injustices. Be sure to understand the full image of a subject before convincing it to others.

PERKONGSIAN MALAM INI (open for all muslims and non-muslims): Dear believers in God, remember God when you plan to do something, and God will help you achieve it, if it's beneficial for you and others of course. ^_^

PERKONGSIAN HARI INI: Walaupun diri kita tidak sempurna, namun jangan pernah menganggap diri kita sudah tidak layak untuk disempurnakan. Sedangkan peluang yang diberikan kepada kita untuk hidup semestinya untuk mengumpul kebaikan semaksima yang boleh, bukannya sekadar minima yang mampu.

PERKONGSIAN HARI INI: Ikhlas adalah satu rahsia Allah dan tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya. Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan kita, itulah tanda ikhlas.

PERKONGSIAN HARI INI: Janganlah kita meremehkan suatu kenikmatan walaupun sedikit, kerana suatu saat nanti kita akan sangat memerlukannya.

PERKONGSIAN ISTIMEWA MALAM INI: Selagi kita terus sentiasa mencintai Yang Maha Menyintai, nescaya kita akan dipertemukan kembali di bawah lindunganNya yang abadi di akhirat nanti, insyaAllah ^_^

PERKONGSIAN HARI INI: Selama kepatuhan kepada Allah dianggap sampingan, iman tidak akan pernah kuat. Dan akibatnya kebahagiaan hakiki tidak dapat dicapai. Sebaliknya ketika keimanan benar-benar menggelora, lalu dibuktikan dengan kepatuhan yang jujur dan total kepada Allah, maka kebahagiaan akan tercapai.

PERKONGSIAN HARI INI: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
[al-Isra’ 17:24]

*Jangan hanya meletakkan Hari Ibu dan Hari Bapa sebagai hari yang teristimewa buat mereka, sebaiknya letakkanlah ibu bapa kita sebagai insan yang teristimewa di hati kita sepanjang masa.

PERKONGSIAN HARI INI: Gadaikan matamu dengan berpuluh ribu ringgit, gadaikan lidahmu dengan berpuluh ribu ringgit, gadaikan akalmu dengan beratus ribu ringgit, nescaya mustahil untuk kita melakukannya. Kita sebenarnya sudah terlalu kaya untuk menjalani hidup dengan nikmat kesempurnaan fizikal kurniaanNya, namun kita terkadang masih merungut tentang kekurangan kita. Renung-renungkanlah...

PERKONGSIAN HARI INI: Solatlah lima waktu, sebelum kita disolatkan sebagai jenazah dengan berbungkuskan kain kapan. Tingkatkankanlah amalan sunat kita sebagai peneguhan iman, sebelum jenazah kita ditingkatkan ke dalam kotak keranda. Usungkanlah diri kita ke cahaya kebenaranNya, sebelum jenazah kita diusungkan ke alam barzakh.

PERKONGSIAN HARI INI: Ilmu Allah luas umpama lautan, sedangkan ilmu kita hanyalah secawan daripadanya. Sentiasalah berserah diri kepadaNya dan tuntutlah sebanyak-banyak ilmu demi menggapai keredhaanNya.

PERKONGSIAN HARI INI: Kita takkan menggunakan sepasang kaki untuk mengejar masa, dan takkan juga menggunakan sepasang tangan untuk menggapai kejayaan. Namun semangat yang terjana dalam hati akan menjadi raja penggerak tubuh badan kita untuk memanfaatkan masa yang ada demi memburu kejayaan dunia dan akhirat.

PERKONGSIAN HARI INI: Kekayaan yang memperkayakan nafsu dan keangkuhan diri sendiri hanyalah menjanjikan kebahagiaan yang kabur daripada kebaikan, namun kekayaan yang memperkayakan amalan dan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain itulah menjanjikan kebahagiaan yang jelas dan kekal di dunia dan di akhirat.

PERKONGSIAN HARI INI: Teknologi buatan manusia hanya menguasai sektor duniawi, namun jika teknologi ciptaan Allah iaitu kompleks iman dalam hati ini digabungkan bersama, insyaAllah teknologi yang dibawa akan membentuk kebaikan untuk kesejahteraan duniawi dan ukhrawi. Engineering ummah, engineering futures!

PERKONGSIAN HARI INI: Akhirat nombor 1, tapi akademik bukan nombor 2! Mengingati akhirat bukan bermaksud tidak mempedulikan dunia, tetapi mengingati dunia biar di jalan yang diredhai-Nya untuk menuju ke akhirat.

PERKONGSIAN HARI INI: Berbuat kebaikan tanpa mengharapkan apa-apa melainkan keredhaanNya, itulah keikhlasan.

PERKONGSIAN HARI INI: Kegembiraan boleh melalaikan kita, namun kita tidak akan lalai selagi dapat menggambarkan kegembiraan sambil masih mengingati-Nya.

PERKONGSIAN HARI INI: Setahun umur meningkat, maka setahun sudah kita semakin dekat dengan mati. Namun setahun amalan kita pelihara, maka setahun sudah kita terasa semakin dekat dengan Ilahi.

PERKONGSIAN HARI INI: Masalah peribadi yang kita adukan kepada orang lain mungkin hanya akan menambahkan masalah, namun jika masalah tersebut diadukan kepada Allah s.w.t., nescaya Allah suka mendengar orang-orang yang sentiasa mengadu kepadaNya. Kepada Allah-lah tempat kita mengadu, pasti Dia akan memberikan pertolongan kepada kita, insyaAllah...

No comments :

Post a Comment