oleh: Ukt. Atifah Ahmad Yusoff
+++++++
Sibuk.
Ramai di antara kita takut
untuk menjadi sibuk berbanding untuk lapang. Jika ada dua pilihan antara sibuk
dan lapang, tentu pilihan untuk lapang dan hidup santai yang akan kita pilih.
Sekalipun kita sedia maklum, masa lapang adalah ujian pada kita yang sering
kita lupakan.
Dua nikmat yang sering dilupakan
manusia; sihat dan masa lapang
[HR Bukhari]
Realiti Kehidupan
Kita sering memberi alasan sibuk
apabila diajak kepada kebaikan. Tidak cukup masa, banyak assignment, test yang bakal menjelma dan banyak lagi alasan yang
sering kita beri. Namun realitinya, berapa ramai di antara kita yang masih lagi
mampu untuk melayari laman Facebook dan duduk berjam-jam di hadapan komputer.
Lihatlah statistik yang dikeluarkan, seramai 10.2 juta daripada 28.9 juta
rakyat Malaysia mempunyai Facebook dan telahpun disibukkan dengan 'kitab'
buatan Mark Zuckerberg ini setiap masa.
Dalam pada mereka mengatasnamakan
kesibukan, mereka masih boleh mengemaskini blog dan berpindah daripada blog
lain ke blog lain setiap hari. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu
memuat turun movie dan anime serta menontonnya berjam-jam di
hadapan komputer. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan
setiap episod drama di televisyen. Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih
mampu membalas setiap mesej daripada
kekasih mereka dan masih ada masa untuk membuat temu janji setiap minggu atau
setiap hari. Realitinya, jika tidak sibuk dengan kebaikan, kita tetap akan
sibuk dengan kemaksiatan.
Sibuk untuk agama Allah
Rasulullah saw sibuk dengan
tugasnya menjadi ketua negara, ketua perang, ketua keluarga, berdakwah dan
ibadah kepada Allah. Mus’ab bin Umair sibuk dengan tugasnya berdakwah di
Madinah. Abu Bakar sibuk menjadi sahabat Rasulullah saw yang paling setia. Abu
Hurairah sibuk mengumpul hadith daripada Rasulullah saw dan otaknya adalah
gudang pengetahuan. Khalid al Walid sibuk menjadi panglima perang yang
berwibawa. Siti Khadijah sibuk menguruskan perihal Rasulullah dan menjadi
pendokong setia baginda. 'Ibn Sina dan Al-Razi sibuk dengan hafalan Al-quran,
kajian-kajian tentang perubatan dan penghasilan karya-karya yang masih segar
dan menjadi rujukan hingga kini.
Mereka juga sibuk. Namun mereka
sibuk dengan perkara-perkara yang memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Apakah
sama kesibukan kita dan kesibukan mereka? Setiap sisi kehidupan mereka adalah untuk membantu agama Allah. Begitulah
yang telah dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka bahkan lebih
sibuk daripada kita dengan dakwah dan jihad yang mereka lalui demi menegakkan
agama tercinta ini. Mereka disibukkan dengan ibadah, halaqah-halaqah ilmu,
dakwah, perang, infaq dan membangunkan ekonomi untuk dijadikan harta dakwah.
Mulia. Itulah perbezaan bagi
orang yang sibuk untuk agama Allah.
Orang kafir juga sibuk
Siapa kata hanya dengan
berkomitmen pada dakwah Islam akan sibuk? Orang kafir juga sibuk dalam
mendakyahkan agama mereka kepada manusia di muka bumi. Mereka berkorban
sepenuhnya untuk agama batil mereka. Bahkan mereka lebih ‘mulia’ kerana mereka
sanggup untuk menginfak masa dan tenaga demi agama mereka. Mereka lebih ‘mulia’
berbanding orang Islam yang lebih rela berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa hanya
kerana trauma dengan sebuah perkataan; sibuk.
Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang
kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu,
karena sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
[Q.S. An-Nisaa’,
4:76]
Tiada seorangpun yang hidup di
muka bumi ini berjaya dengan diam bersantai. Latar belakang orang yang berjaya
jika diselidiki, mereka sepanjang hidup berhempas pulas dengan urusan-urusan
dunia mereka. Bagi orang yang bertaqwa, mereka pula berhempas pulas dengan
urusan akhirat dan tidak dilupakan bahagian dunia mereka. Namun, jika kita
lihat, hampir kesemuanya sibuk. Tentu golongan kedua lebih mulia kerana
persiapan akhirat yang telah mereka lakukan. Sangatlah menghairankan jika ada
orang yang takut sibuk dengan hal-hal akhirat, tetapi tidak pula mereka takut
jika sibuk dalam hal keduniaan dan kemaksiatan.
Pengalaman Saya
Semasa zaman degree saya dahulu, mana-mana pelajar akan mengatakan dialah yang
paling sibuk. Pelajar perubatan, farmasi, kejuruteraan ataupun bidang-bidang lain akan mengatakan bahawa mereka sibuk.
Begitu juga pleajar tahun akhir akan mengatakan kesibukan mereka lebih besar
berbanding pelajar tahun lain dan juga pelajar tahun lain mengatakan
sebaliknya. Semua orang mengaku sibuk. Tidak dinafikan, pelajar master dan PhD juga sibuk. Kini, saya sebagai
salah seorang pelajar master juga
tidak menafikan hal ini.
Selalu bermain di telinga kami
nasihat senior-senior dahulu. “Jangan
berkomitmen dengan dakwah Islam, nanti sibuk dan akibatnya, akademik terabai.”
Itulah alasan yang selalu digunakan untuk
menakut-nakutkan pelajar Muslim agar tidak menyibukkan diri dengan dakwah
Islam. Pengalaman saya bersama teman-teman yang berkecimpung dalam dakwah tidak
menafikan kesibukan yang kami hadapi. Dengan lambakan tugas sebagai pelajar di
samping pendakwah, memaksakan kami untuk bijak mengurus masa kami sendiri.
Adakalanya terpaksa mengorbankan tidur malam untuk memastikan keberhasilan
kedua-dua akademik dan dakwah. Apa yang membezakan kesibukan kami dengan
pelajar lain adalah dakwah Islam sedangkan ada juga yang sibuk berpersatuan dan
yang lain sibuk dengan hal sendiri. Namun, segalanya berjalan dengan baik
dengan izin Allah. Saya bersama teman yang lain grad seperti kawan-kawan lain. Salah seorang teman dekat saya yang
juga sibuk dengan dakwah Islam menduduki 1st
class degree manakala saya dan seorang lagi teman di tempat 2nd class degree. Pada saya
prestasi ini sangat baik jika hendak dibandingkan dengan kesibukan berganda
kami. Hasilnya, tidak jauh beza kami dengan kawan-kawan sekuliah lain yang
turut berhempas pulas dalam akademik ini.
Saya dalam kesibukan master, akan memastikan tarbiyah diri
saya dan anak-anak halaqah saya berjalan dengan baik. Saya dan sahabat-sahabat
lain menempuh perjalanan beratus kilometer hampir setiap minggu untuk halaqah
saya dan mereka, sebagai bukti komitmen kami membantu agama Allah ini. Peranan
sebagai seorang isteri dan kini sebagai ibu pula menjadikan sibuk yang berkali
ganda berbanding orang lain. Namun, setakat hari ini, segalanya berjalan dengan
baik, sesuai dengan perancangan. Aturan Allah memang begitu, pertolonganNya
diberikan kepada orang yang membantu meneguhkan agamaNya.
Saya menceritakan pengalaman saya
di sini bukan untuk menguak kelebihan diri, tetapi sebagai perkongsian teladan
untuk kita semua. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan hanya saya yang sibuk.
Ramai lagi manusia di luar sana yang lebih layak dikatakan sibuk. Process Engineer di kilang-kilang lebih
sibuk dalam memastikan operasi kilang mereka dalam keadaaan yang baik. Adakalanya
pulang lewat malam dan berbagai lagi outstation.
Begitu juga accountant yang perlu
teliti setiap masa untuk memastikan akaunnya telly dan seimbang. Tetapi, itulah beza kesibukan yang menentukan
kemuliaan seseorang pada pandangan Allah.
Double standard
Kita selalu melihat serong pada
pendakwah yang setiap minggu berulang alik ke KL semata-mata untuk memastikan
tarbiyah di sesebuah medan berlaku dengan baik. Buang masa, tenaga, wang
ringgit di samping tohmahan gila dan tidak masuk akal keluar daripada mulut
kita. Namun, kalau kita perhatikan, ramai sahaja di luar sana yang berulang
alik ke KL atau lebih jauh lagi semata-mata tujuan dunia mereka.
Kawan saya, hujung minggu
dihabiskan ke KL atas urusan bisnes katanya. Junior saya, kerana tertarik dengan
imbalan MLM, sanggup turun naik KL sekalipun ada kuliah di esok hari. Ada juga
yang sanggup skip satu dua kelas. Ada
lagi yang setiap minggu travel untuk
berjumpa kekasih hati. Lebih lagi, ada ibu yang travel setiap hari menaiki train
untuk menyusukan anak yang dijaga neneknya. Tidak pula terlalu menghairankan kita
dalam hal-hal seperti ini.
Kesimpulan
Jangan takut untuk menjadi sibuk
di jalan Allah. Memang itulah yang diperintahkan Allah, untuk menegakkan
agamaNya, tidak dinafikan menguras tenaga dan pengorbanan masa dan wang ringgit
yang tidak sedikit. Hakikat dunia ini adalah ladang akhirat, untuk kita beramal
sebanyak-banyaknya dan menuai pahalanya di akhirat kelak. Apapun, persoalan
yang perlu kita fikirkan, bukankah sibuk di jalan Allah lebih mulia berbanding
orang yang sibuk dalam kemaksiatan? Bukankah jauh lebih mulia berbanding orang
yang sibuk di lapangan kerja? Dan bukankah terlalu jauh mulianya berbanding
orang yang sibuk berdakyah untuk agama batil mereka?
Atifah Ahmad
Yusoff
Penulis merupakan pelajar Sarjana Pengajian Islam
di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau mendapat ijazah di
Universiti Teknologi Petronas dalam Kejuruteraan Kimia dan kini giat dalam
bidang penulisan dakwah.
Email: rum.green@gmail.com
No comments :
Post a Comment