Salam wahai ukhuwah fillah sekalian saudaraku...
Kenal Rasulullah?
"Aih, takkan tak kenal pula...sungguh bonus soalan ini..."
Jikalau kenal, apakah yang kalian tahu dan kenal berkenaan baginda?
"Siapa lagi yang memperjuangkan Islam sampai sekarang kalau bukan kerana baginda? Selama kehidupan baginda kira-kira 1400 tahun sebelum kehidupan kita ni wujud, Baginda sentiasa dibantu oleh keluarga dan sahabat-sahabat dalam menyebarkan debunga dakwah memperjuangkan kalimah "Laailahaillallah" dalam kalangan masyarakat jahiliah pada masa itu..."
Alhamdulillah memang bagus jika kalian masih mengenali baginda. Kalau begitu, kalian tahu apakah yang baginda wariskan kepada umat baginda untuk menjamin kesan perjuangan yang mulia ini wahai saudaraku?
"Aik, mestilah... tak lain tak bukan tentulah al-Quran dan Sunnah baginda... kalau ikuti kedua-dua warisan yang ditinggalkan baginda ini sudah confirm kita takkan sesat..."
Memang betul kita akan sentiasa terikat di bawah kebaikan dan lindungan Allah jika kita mengikuti kedua-duanya. Sekarang berbalik kepada dunia kita sendiri... adakah kita selalu bersyukur atas nikmat Islam dan iman yang kita rasai sekarang ini?
"Ehh, mestilah... sentiasa bersyukur dalam setiap doa kami akhi..."
Sudahkah kita membuktikan kesyukuran tersebut melalui perbuatan kita?
"Solat lima waktu saya tak pernah tinggalkan pun akhi..."
Seandainya godaan dan ujian berada di sekeliling kita, mampukah kita bertahan dengan pegangan kita terhadap kedua-dua warisan baginda tersebut?
"...Insha Allah akhi... dah confirm orang-orang yang berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah takkan sesat, pasti dapat bertahan punya..."
Persoalannya: adakah kita betul-betul dah confirm berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah tersebut?
"..."
**********
Di kisahkan pada suatu hari ketika Rasulullah saw bersama-sama sahabatnya seraya baginda bertanya kepada mereka :
"Siapakah yang paling hebat imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka?...
Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga saudara-saudaramu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara,
"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
**********
Sekali lagi wahai saudaraku, siapakah yang dispesifikkan oleh Rasulullah sebagai hamba Allah yang mulia? Adakah para malaikat? Adakah para nabi dan rasul? Adakah para sahabatnya? Bukan itu yang baginda maksudkan sebenarnya pada waktu itu. Mereka yang dispesifikkan oleh Rasulullah sebagai yang mulia di sisi Allah itu,
Mereka belum pernah melihat baginda, mungkin siapa lagi kalau bukan kita...
Nah, sekarang, mengapa kebanyakan kita masih tidak mensyukuri takdir yang ditetapkan olehNya?
Mereka beriman dengan baginda sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintai baginda...
Sekarang tanyalah pada lubuk hati sendiri yang terdalam... sekali lagi, apakah kita sebenarnya yang ditujukan oleh Rasulullah sebagai umatnya jika kita sendiri pun tidak beriman dengan baginda? Bagaimana kita boleh dengan senang-lenangnya berbangga begitu sahaja dengan gelaran kita yang diberikan oleh baginda sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. tanpa merasa sedikit pun rasa cinta mahupun penghargaan kita terhadap baginda? Sedangkan mencintai baginda melebihi cinta kepada keluarga kita sendiri, merupakan suatu material yang secara tidak langsung dapat membentuk mahligai keimanan kita kepada baginda, maka adakah kita sendiri, yang kononnya bangga digelar sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., sudah mencapai tahap kecintaan yang dimaksudkan oleh baginda itu?!
DI MANAKAH LETAKNYA CINTAMU TERHADAP BAGINDA?!
Allahuakbar
ReplyDelete